Kes pecah rumah di Stutong selesai, dua suspek miliki belasan rekod jenayah ditangkap

Pecah rumah, Stutong, Dua suspek ditangkap, Dadah, Berita Sarawak, Sarawak Update

KUCHING-- Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menyelesaikan kes pecah rumah di kawasan Stutong di sini dengan tertangkapnya dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kes ini. 


Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah, kedua-dua suspek lelaki warga tempatan berusia 23 dan 25 tahun ditangkap pada 13 Julai lalu oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching. 


"Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek tersebut, polis telah berjaya menyelesaikan dua kes pecah rumah yang dilaporkan di kawasan Stutong, Kuching yang dilaporkan pada Jun dan Julai 2022 baru-baru ini," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Beliau mendedahkan, suspek pertama yang berumur 25 tahun memiliki 14  rekod jenayah lampau manakala suspek kedua berumur 23 tahun memiliki 16 rekod jenayah lampau dengan pelbagai kesalahan melibatkan dadah dan jenayah. 


Jelasnya, ujian saringan urin kedua-dua suspek adalah positif dadah. 


"Polis turut berjaya merampas komputer riba, mesin pengisar makanan dan penapis air jenama Cuckoo yang telah dilaporkan hilang dalam kedua-dua kejadian pecah rumah tersebut," ujarnya. 


Tambahnya, permohonan reman ke atas kedua-dua suspek telah diluluskan selama tujuh hari mulai 15 sehingga 21 Julai 2022. 


"Kedua-dua suspek ditahan di lokap IPD Kuching untuk tindakan selanjutnya. 


"Kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukan 14 tahun penjara dan denda sekiranya disabitkan kesalahan," tegasnya lagi.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.