Sarawak meterai MoU dengan Melexis Belgium hasilkan cip bersepadu


KUCHING-- Kerajaan negeri Sarawak telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Melexis Technology iaitu pembekal global penyelesaian semikonduktor mikroelektronik berpangkalan di Belgium, yang sekali gus membuka laluan kerjasama dalam reka bentuk penghasilan cip bersepadu (IC) untuk cip buatan Sarawak.


Majlis menandatangani MoU antara Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak dan Melexis Technology itu telah diadakan di Tessenderlo, Belgium dan disaksikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang kini sedang melakukan lawatan kerja selama seminggu ke Eropah.



Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Premier Sarawak hari ini,  Melexis Technology  telah menjadi sebahagian daripada faundri cip XFab sedia ada di Zon Perindustrian Bebas Samajaya di Sarawak, menghasilkan cip untuk pelbagai aplikasi, termasuk automobil.


Skop MoU itu termasuk kerjasama dalam reka bentuk IC dan pembangunan bakat semikonduktor di Sarawak sebagai sebahagian daripada program inovasi dan pembangunan bakat negeri.


Dalam ucapan ringkasnya pada majlis menandatangani perjanjian itu, Abang Johari berkata perubahan iklim dan pemansuhan enjin pembakaran secara berperingkat dalam automobil akan menyaksikan penghijrahan reka bentuk cip untuk mematuhi keperluan pasaran peralihan tenaga.


Beliau berkata kerjasama itu penting dan satu langkah ke arah yang betul untuk membolehkan Sarawak dan seluruh dunia mendapat manfaat daripada pembangunan reka bentuk cip yang mungkin berasal dari Sarawak pada masa hadapan.


"Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada Sarawak dan Melexis Technology, tetapi juga kepada dunia,” katanya kepada hadirin termasuk pengerusi Melexis Technology, Françoise Chombar dan lembaga pengarah syarikat, para menteri dan timbalan menteri Sarawak.


Abang Johari berkata pembangunan bakat adalah penting untuk menggalakkan iklim penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berkesan dalam teknologi reka bentuk cip di Sarawak.


Beliau berkata Sarawak -- terutamanya Kuching -- sedang menuju ke arah pembangunan Transit Aliran Autonomi berkuasa hidrogen, dan R&D sudah pasti akan menjadi pemacu utama pengangkutan awam baharu itu.


Majlis menandatangani MoU itu dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan,  Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn dan timbalannya, Datuk Francis Hardin dan Dr Annuar Rapa’ee.


Sementara itu, Premier Sarawak dan delegasinya turut melawat Pelabuhan Antwerp-Bruges untuk satu lagi majlis menandatangani MoU mengenai cadangan pembangunan pelabuhan baharu di Kuching.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post