Model penyelenggaraan LPB dimuktamadkan sebelum 2025, Fadillah

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING—Kerajaan bersama agensi pusat sedang meneliti kaedah dan model penyelenggaraan bagi projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak yang telah tamat Tempoh Tanggungan Kecacatan atau "Defect Liability Period" (DLP), kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.


Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusof Abdul Wahab pada persidangan Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini, Fadillah berkata kaedah itu mengambil kira kos dan tahap perkhidmatan (LOS) penyelenggaraan yang bersesuaian.


Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menjawab soalan ahli parlimen Tanjong Manis, Ir Yusof Abdul Wahab pada persidangan Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini


“Proses penelitian tersebut dijangka akan dimuktamadkan sebelum tempoh DLP tamat pada tahun 2025.


"Bagi pakej-pakej kerja dan seksyen yang telah siap dan masih dalam tempoh DLP, penyelenggaraan projek LPB Sarawak akan dilaksanakan oleh kontraktor masing-masing di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selaku Pegawai Penguasa Projek," katanya.


Yusof dalam pertanyaan meminta Kementerian Kerja Raya menyatakan berapa peruntukan tahunan untuk menyelenggarakan Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak setelah projek LPB itu siap nanti dan apakah kerja-kerja penyelenggaraan itu akan diswastakan dan bagaimanakah syarikat penyelenggara itu akan dilantik.


Dalam pada itu, Fadillah memberitahu, sama seperti projek-projek kerajaan lain, prestasi kemajuan kerja pembinaan projek LPB Sarawak turut terkesan akibat oleh kekurangan pekerja, bahan binaan susulan dari wabak COVID-19 dan impak ekonomi global pada masa kini. 


Sehubungan itu, katanya, pelbagai pelan matigasi sedang dilaksanakan antara lainnya penyelarasan semula jadual pembinaan dan lanjutan masa bagi memastikan kelancaran serta kelangsungan projek ini.


Menjelas lanjut tentang projek LPB Sarawak, Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, ia merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik secara berperingkat jaringan infrastruktur jalan raya di Sarawak. 


"Sehingga Mei 2022, status kemajuan Fasa 1 bermula dari Telok Melano ke Miri sepanjang 786 kilometer adalah 84 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2023. 


"Beberapa pakej dan seksyen telah dibuka untuk pengguna jalan raya secara berperingkat seawal tahun 2019," tambahnya.


Jelasnya lagi, pakej dan seksyen yang telah dibuka itu adalah Pakej Telok Melano ke Sematan yang telah siap sepenuhnya pada 6 Januari 2019; Seksyen Julau bagi Pakej Kerja 07, Persimpangan Bintangor ke Persimpangan Julau telah siap pada 28 Oktober 2021; Seksyen Serian bagi Pakej Kerja 03, Bulatan Serian ke Balai Ringin telah siap pada 4 Disember 2021; dan Seksyen Nyabau bagi Pakej Kerja 10, Simpang Nyabau ke Sungai Tangap telah siap pada 26 Januari 2022.

Next Post Previous Post