Sarawak mahu belajar dari UK urus dana kekayaan, Abang Johari

Sarawak mahu belajar, UK, Urus dana kekayaan, Abang Johari, Sarawak Update
Abang Johari semasa mengetuai delegasi untuk menemui pegawai-pegawai dari International Forum of Sovereign Wealth Funds (IFSWF) dan PriceWaterhouseCoopers (PWC) di London hari ini. Gambar Sarawakku


KUCHING—Kerajaan Sarawak berharap dapat belajar daripada amalan terbaik dan pengalaman dana kekayaan negara di United Kingdom (UK) sebagai sebahagian daripada persediaannya untuk menubuhkan dana yang sama di negeri ini.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak perlu mengkaji pengurusan dan tadbir urus dana bersama dengan strategi pelaburan, rangka kerja undang-undang dan dasar mereka sebagai sebahagian daripada proses penanda arasnya.


Gambar Sarawakku


“Kedudukan kewangan Sarawak kini agak kukuh dan kami mahu menjana pendapatan daripada dana lebihan masa depan untuk manfaat generasi akan datang kita,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya selepas mengetuai delegasi untuk menemui pegawai-pegawai dari International Forum of Sovereign Wealth Funds (IFSWF) dan PriceWaterhouseCoopers (PWC) di London hari ini.


Melalui pertemuan itu, yang diadakan di ibu pejabat PWC di London, beliau berharap para pegawai IFSWF akan dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan pakar mereka mengenai operasi dan tadbir urus dana pelaburan milik negara itu. 


Menurut laman webnya, IFSWF, yang ditubuhkan pada 2008, ialah organisasi sukarela dana kekayaan negara global yang komited untuk bekerjasama dan memperkukuh komuniti melalui dialog, penyelidikan dan penilaian kendiri.


Delegasi Abang Johari termasuklah Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar negeri Datuk Seri Talat Mahmood Abdul Rashid, Setiausaha Kewangan Negeri Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Muhammad Abdullah Zaidel. 


Kemudian, delegasi Sarawak menemui pengurus dana UK Government Investment Ltd (UKGI), sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Perbendaharaan untuk memahami, antara lainnya, campur tangan struktur dasar dan nasihat pakar mengenai pembangunan dana kekayaan negara.


Sebelum ini, Premier berkata satu ordinan akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada November untuk menyediakan rangka kerja undang-undang bagi pembentukan dana itu.


Beliau telah pergi ke Norway dan Singapura untuk membuat kajian yang sama mengenai model yang digunakan di negara-negara ini untuk mengendalikan dana sedemikian.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.