Kerajaan kaji harga siling ayam selepas 31 ogos


PUTRAJAYA— Kerajaan akan mengkaji semula penetapan harga siling runcit ayam standard serta kebenaran mengeksport ayam, selepas pelaksanaan harga siling RM9.40 sekilogram di Semenanjung Malaysia tamat pada 31 Ogos, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee.


“Tentu sekali selepas 31 Ogos ini kerajaan akan mengkaji aspek sama ada nak kekalkan subsidi atau nak apungkan harga, ataupun untuk membuka semula eksport ayam bulat ke luar negara.


“Itu akan kita pertimbangkan. Kita ada sebulan lagi untuk melihat perkembangan yang akan berlaku dalam industri ternakan dan juga perusahaan ayam di negara kita,” katanya kepada media selepas melancarkan Pavilion AgroTech Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di sini hari ini.


Kerajaan telah menetapkan harga siling RM9.40 sekilogram untuk tempoh 1 Julai lepas sehingga 31 Ogos, manakala harga siling runcit telur ayam bagi gred A pada 45 sen/biji; gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia.


Ronald berkata kerajaan mengambil maklum ada sesetengah tempat yang menjual ayam standard lebih rendah dari harga siling yang ditetapkan.


“Dari perspektif industri, kita letakkan harga kawalan tetapi kerajaan tampung dengan pemberian subsidi kepada penternak sebanyak RM1.20 bagi bagi setiap kilogram.


“Jadi tindakan kerajaan (pemberian subsidi) telah menstabilkan bekalan ayam dan harga ayam di pasaran,” katanya.


Mengenai Pavilion Agrotech MAHA 2022, Ronald berkata sebanyak lapan pempamer menyertai pavilion itu yang terdiri daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Agrobank, Bioeconomy Corporation, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Aerodyne Group dan SAT.ASIA.


Pavilion AgroTech yang terletak di Dewan D2, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang akan mempamerkan teknologi pertanian terkini yang bertemakan revolusi industri 4.0 seperti internet benda (IoT), sistem pengurusan ladang pintar, kilang tanaman, dron pertanian, teknologi robotik, pengurusan data pertanian, sistem maklumat geografi dan bioteknologi.


MAHA 2022 akan diadakan secara hibrid pada 4 hingga 14 Ogos di MAEPS, dengan bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’. Disasarkan 1.1 juta pengunjung hadir secara fizikal sepanjang 11 hari program itu serta menjana lebih RM250 juta potensi nilai jualan.


Pameran dwitahunan itu kali terakhir diadakan pada 2018 sebelum tergendala akibat pandemik Covid-19 dalam negara.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post