Bekalan elektrik di 8 premis judi, loteri haram dipotong

Bekalan elektrik, 8 premis judi, Loteri haram dipotong, Sarawak Update

Operasi pemotongan bekalan elektrik di premis disyaki menjalankan kegiatan perjudian di sekitar Padawan. Gambar PDRM


KUCHING—Lapan premis perniagaan yang dijadikan pusat operasi judi dalam talian dan loteri awam di sekitar Padawan dipotong bekalan elektrik hari ini.


Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, operasi pemotongan itu dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dan pihak Sesco bermula 10.20 pagi sehingga 12.15 tengah hari tadi.


Gambar PDRM


"Operasi bersepadu pemotongan elektrik ini telah dilakukan oleh seramai lima pegawai dan dua anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan dengan kerjasama kakitangan pihak sesco.


"Pemotongan bekalan elektrik ini dilakukan berdasarkan kepada undang-undang sedia ada mengikut kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289)," katanya dalam kenyataan hari ini.


Dalam pada itu, Abang Zainal memberitahu, sebanyak 151 serbuan ke atas premis disyaki menganjurkan kesemua jenis perjudian dilakukan bagi tempoh Januari hingga 29 Julai 2022.


"Usaha berterusan sedemikian akan dilakukan sepanjang tahun bagi menggempur kegiatan yang merugikan rakyat dan negara ini," tegasnya.


Tambahnya, pemotongan bekalan elektrik akan dipertingkat dengan adanya kerjasama baik daripada pihak Sesco.


Tegasnya lagi, berdasarkan kepada peruntukan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, mana-mana premis yang telah diputuskan bekalan elektrik tidak boleh disambungkan semula tanpa kebenaran bertulis daripada ketua polis daerah.


Jelasnya, tujuan pelaksanaan undang-undang ini adalah bagi mengekang kegiatan perjudian di Padawan.


“Operasi akan dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan bagi membasmi sepenuhnya kegiatan judi di Padawan,” katanya sambil menasihatkan orang awam menjauhkan diri daripada kegiatan tidak berfaedah.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.