RUU Lompat Parti: Sarawak harus ambil langkah seterusnya

Gambar arkib. Datuk Seri Fadillah Yusof 

KUCHING-- Peguam Besar Negeri Sarawak perlu mengkaji langkah seterusnya yang harus diambil bagi pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti di negeri itu.


Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Sarawak sememangnya sudah mempunyai peruntukan mengenai larangan melompat parti dalam Perlembagaan negeri itu.


Namun jelasnya peruntukan tersebut tidak dapat dilaksanakan sebelum ini kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.


“Jadi apabila Perlembagaan Persekutuan telah dipinda (baru-baru ini) maka peruntukan itu (peruntukan lompat parti negeri) mungkin sekarang ini boleh dikuatkuasakan.


“Sekarang ini terserah pada kerajaan negeri Sarawak untuk mengkaji sama ada mahu buat peruntukan sama dengan Persekutuan atau memadai dengan peruntukan negeri sedia ada, itu memerlukan kajian perundangan,” katanya.


Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Pejabat Sekretariat Lembaga Jurutera Malaysia di sini, hari ini.


Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili baru-baru ini yang meminta Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak untuk segera membentangkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di peringkat negeri dalam tempoh 60 hari.


Ongkili berkata ini kerana pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk melarang Ahli Parlimen bertukar parti yang diluluskan Dewan Rakyat, tidak terpakai di kedua-dua DUN berkenaan.


Pada Khamis lepas, pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’ mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan, sekali gus melakar sejarah yang mengubah landskap politik tanah air.


RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu memperoleh masing-masing sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Rakyat.


 -- BERNAMA

Next Post Previous Post