Pengamal Perunding Kejuruteraan harus komited dalam memberi perkhidmatan: Fadillah


KUCHING-- Pengamal Perunding Kejuruteraan harus lebih komited dalam memberi perkhidmatan yang terbaik dan profesional kepada pelanggan atau orang awam di Sarawak. 


Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pematuhan kod etika profesional seperti yang dinyatakan dalam Peraturan Pendaftaran Jurutera 1990 perlu digalas setiap masa demi menjaga nama baik profesion kejuruteraan.



"Oleh itu, saya berharap Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada orang awam yang memerlukan khidmat BEM; antaranya berkenaan pendaftaran dan aduan.


"Tahniah kepada BEM dan JKR Sarawak di atas usaha dan kerjasama dalam menubuhkan pejabat Sekretariat BEM di Kuching, Sarawak.

 


"Tahniah juga  Dato Seri Ir. Mohamad Zulkefly Sulaiman, Presiden BEM dan kesemua Ahli Lembaga Jurutera dan semua orang berdaftar yang akan menyambut ulang tahun BEM ke-50 atau Jubli Emas pada bulan depan," katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Sekretariat dan Pelancaran Logo Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) di sini hari ini. 



Pada masa yang sama, Fadillah memberitahu BEM merupakan salah satu badan berkanun persekutuan di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia yang fungsinya adalah bagi mendaftar dan mengawal selia profesion kejuruteraan di Malaysia.



Tambah Ahli Parlimen Petra Jaya itu, KKR melalui Lembaga Jurutera Malaysia sentiasa komited untuk menggalas serta merealisasikan dasar dan hasrat Kerajaan.



"Sebagai contoh, penubuhan Pejabat Sekretariat Lembaga Jurutera Malaysia menandakan sokongan Kementerian Kerja Raya terhadap keputusan melebarkan perkhidmatan dari BEM di Sarawak dan juga Sabah pada masa terdekat ini," jelasnya. 



Selain itu, beliau memberitahu Sarawak sentiasa mengalami proses urbanisasi dengan pelaksanaan projek-projek pembangunan dari aspek infrastruktur, oil & gas dan lain-lain sektor. 



Antaranya kata beliau, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Pesisir Pantai yang sedang giat dilaksanakan. 



"Semestinya sektor perkhidmatan kejuruteraan adalah terlibat secara langsung dengan pembangunan-pembangunan tersebut.

 

"Justeru bilangan jurutera siswazah, jurutera profesional, teknologi kejuruteraan dan pemeriksa tapak dari Sarawak akan bertambah, selari dengan perkembangan dan pembangunan yang dirancang oleh kerajaan serta sektor swasta," ujarnya lagi. 

Next Post Previous Post