KKM mansuh keperluan isi Kad Pengembara untuk masuk Malaysia

KKM mansuh, Kad Pengembara, Berita Malaysia
Gambar kredit Unsplash


KUALA LUMPUR-- Berkuat kuasa Isnin ini (1 Ogos), semua pengembara yang memasuki Malaysia tidak perlu lagi mengisi dan melengkapkan ciri-ciri Kad Pengembara dalam aplikasi MySejahtera, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.


Dalam kenyataan hari ini, beliau memaklumkan kelonggaran itu diputuskan berikutan keadaan sistem kesihatan kini berada pada tahap baik dan terkawal serta bertujuan untuk memudahkan prosedur kemasukan pengembara ke negara ini.


Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa mempergiatkan aktiviti pemantauan gejala dalam kalangan pengembara di semua pintu masuk antarabangsa (PMA) Malaysia.


“Semasa ketibaan di PMA, sekiranya pengembara dikesan demam melalui pengimbas suhu ataupun didapati tidak sihat melalui rujukan kendiri oleh pengembara, mereka akan dirujuk untuk pemeriksaan semula oleh pihak kesihatan,” katanya.


Khairy berkata selepas penilaian kesihatan dibuat dan sekiranya disyaki menghidap penyakit berjangkit seperti COVID-19, monkeypox, MERS-CoV atau lain-lain, mereka akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.


Justeru, beliau berkata semua pengembara yang baru tiba dari luar negara hendaklah mengamalkan pemantauan status kesihatan kendiri, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan dinasihatkan ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan sekiranya didapati tidak sihat.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.