KPDNHEP pergiat kawalan sempadan elak ketirisan

KPDNHEP Sarawak bersama agensi keselamatan mengadakan pemeriksaan  di Pos Kawalan Sempadan Tebedu-Entikong, hari ini. Gambar kredit KPDNHEP Sarawak


TEBEDU-- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak perketat kawalan di pintu sempadan bagi mencegah ketirisan barangan bersubsidi.


Kementerian itu berkata, usaha ini dipergiat melalui kerjasama agensi penguatkuasa melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak.


Gambar kredit KPDNHEP Sarawak


"Antara barangan kawalan bersubsidi yang menjadi sasaran adalah minyak diesel,  minyak masak paket 1 kilogram, tepung gandum dan gas LPG.


"Kita memohon bantuan daripada agensi kawalan sempadan untuk mengadakan operasi bersepadu di kawasan-kawasan sempadan yang menjadi laluan keluar barangan kawalan bersubsidi daripada semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan hari ini, selepas pemeriksaan bersama agensi keselamatan di Pos Kawalan Sempadan Tebedu-Entikong, hari ini.


Gambar kredit KPDNHEP Sarawak


Tegasnya, kawalan sempadan terus diperketat bagi memastikan ketirisan dapat dibanteras terutama dengan pembukaan semula sempadan.


Dalam pada itu, kementerian berharap kerjasama erat antara agensi penguat kuasa dapat diperkukuhkan lagi bagi memastikan pengawasan ke atas ketirisan barang kawalan bersubsidi dapat dibanteras sekaligus rakyat dapat menikmati peruntukan yang dibelanjakan oleh pihak kerajaan.


Sebarang aduan dan pertanyaan boleh dibuat melalui :-
👉e-aduan.kpdnhep.gov.my
👉 Tel KPDNHEP Sarwak: 082-466052 (Bilik Gerakan)
👉 Whatsapp : 019-2794317 @ 019-8488000 (Aduan Pengguna)
👉 Talian Hotline : 1-800-886-800

Next Post Previous Post