Masih ada penduduk tidak izin tanah untuk bekal elektrik, Julaihi

Julaihi Narawi


KUCHING--Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak menafikan sebanyak 40,000 permohonan projek Dana Pemohon Lewat Tambahan (ALAF) di negeri ini hanya dilaksanakan semasa pilihan raya.


Projek ALAF  diperkenalkan kerajaan Sarawak pada 2018 bagi membekalkan elektrik kepada isirumah baharu dan terlewat menyertai Skim Elektrik Luar Bandar (RES) di kawasan mereka.


Menterinya, Datuk Julaihi Narawi berkata projek terbabit telah sentiasa dilaksanakan pihaknya dan Sarawak Energy tanpa mengira masa supaya semua penduduk di Sarawak mendapat bekalan elektrik secepat mungkin.


Gambar kredit Julaihi Narawi

"Kita tak hendak orang kata kita hanya melaksanakannya (ALAF) kerana pilihan raya. Kami sentiasa berterusan laksanakannya pilihan raya atau tiada pilihanraya,"katanya  pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan acara Penglibatan Pihak Berkepentingan Terhadap Pelaksanaan Projek ALAF di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.


Julaihi mendedahkan kementerian dan Sarawak Energy sudah menyiapkan lebih 8,000 permohonan projek itu setakat ini dan sedang secepat mungkin menyiapkan bakinya sekitar 32,000 permohonan lagi.


Beliau berkata antara cabaran melaksanakan ALAF pemohon projek sentiasa bertambah, lokasi rumah jauh di pendalaman dan penduduk tidak membenarkan tanah mereka dilalui projek terbabit.


Katanya ketika ini Sarawak Energy mempunyai seramai 20 kontraktor dan 20 juruperunding, dan jumlah ini belum mencukupi melaksanakan keseluruhan projek ALAF.


"Asalnya projek ini diluluskan peruntukan sebanyak RM80 juta pada 2018. Tambahannya RM150 juta, jadi keseluruhannya RM230 juta,"katanya dan peruntukan itu dari bajet kerajaan Sarawak.


Beliau juga mendedahkan setakat ini keseluruhannya sudah 98.6 peratus isirumah di negeri ini sudah menerima bekalan elektrik.

Next Post Previous Post