Kosmetik beracun ditarik balik 24 jam dari pasaran
![]() |
Gambar hiasan kredit Raphael Lovaski via unsplash |
KUALA LUMPUR—Produk kosmetik dan ubat-ubatan yang mengandungi bahan berbahaya kepada kesihatan pengguna akan diarah ditarik balik dari pasaran dalam masa 24 jam, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Dr Noor Azmi berkata bagi produk yang mendatangkan risiko kecil atau produk yang tidak mencapai standard kualiti yang ditetapkan, ia perlu ditarik balik dari pasaran dalam tempoh 72 jam (tahap 2).
“Tahap 3 pula produk dengan masalah-masalah lain, ia perlu ditarik balik dari pasaran dalam tempoh 30 hari,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) yang mahu menteri kesihatan menyatakan mengenai tindakan pemantauan kerajaan bagi menangani doktor media sosial yang berleluasa melariskan jualan kosmetik hingga menyebabkan kesan sampingan kepada pengguna.
Dr Noor Azmi berkata pada tahap 1, produk akan ditarik balik dari semua pengguna, tahap 2 ditarik balik dari semua tempat yang membekalkan kepada pengguna seperti hospital, farmasi, klinik dan sebagainya manakala pada tahap 3 ia ditarik balik dari semua pemborong/pengedar produk.
-- BERNAMA
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.