Garis panduan baharu PPRT dilaksana tahun ini

Gambar arkib

KUALA LUMPUR— Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membuat garis panduan baharu bagi memastikan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dapat dilaksanakan tahun ini.


Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1 Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pada masa ini tiada kontraktor yang mahu membina rumah PPRT yang bernilai RM56,000 sebuah disebabkan masalah harga.


“Dengan kadar harga RM56,000 sebuah rumah PPRT yang sekarang ini memerlukan lebih kurang RM67,000 (sebuah) untuk pelaksanaan dan tidak ada kontraktor yang sanggup membina pada masa ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.


Abdul Rahman menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang ingin tahu sama ada kementerian berkenaan bercadang meningkatkan peruntukan bagi memastikan rumah PPRT yang berharga RM56,000 sebuah dapat disiapkan. 


Sementara itu, beliau berkata KPLB tidak mempunyai projek sakit di Sabah dan kementerian sentiasa mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan sebarang projek dilaksanakan mengikut perancangan.


Beliau menjawab soalan Noorita Sual (PH-Tenom) yang ingin tahu sejauh mana KPLB memantau projek pembangunan dan infrastruktur di Sabah.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post