Kenaikan harga barang: Persatuan Kek Lapis Sarawak mahu bekerjasama dengan pembekal

Gambar arkib Kek Lapis Sarawak

KUCHING—Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan pembekal bahan kek tersebut dalam masa terdekat ini bagi mengelakkan peningkatan mendadak harga produk ikonik Bumi Kenyalang itu.


Pengerusi persatuan itu, Zubaidah Sahadar memberitahu Bernama bahawa mereka mahukan perbincangan yang menghasilkan situasi menang-menang bukan hanya antara pengusaha produk dan pembekal bahan, tetapi juga tidak menambahkan beban kepada pembeli mereka.


“Kenaikan harga bahan seperti tepung gandum, telur ayam dan mentega baru-baru ini memanglah memeningkan kepala pengusaha kek lapis Sarawak dan kami terpaksa memerah otak untuk mengimbangi peningkatan kos ini bagi mendapatkan kembali harga pulang modal,” katanya.


Selain itu, pengusaha kek lapis Sarawak yang kebiasaannya boleh menempah sehingga 20 papan telur ayam sehari kini hanya boleh mendapatkan sehingga 10 papan sahaja dan ini turut menjejaskan kuantiti produk yang mereka boleh hasilkan.


“Jika kerjasama antara pembekal dan pengusaha dapat diwujudkan, ia akan memudahkan kami untuk mendapatkan bekalan memandangkan kami memerlukan bahan ini dalam kuantiti yang banyak dan kalau boleh, ditawarkan pada harga lebih rendah,” katanya.


Zubaidah, 57, berkata ahli persatuan itu terpaksa menaikkan sedikit harga jualan produk mereka dari RM10 dalam sebekas kecil kek kepada sekitar RM12, bergantung kepada jenis kek lapis berkenaan untuk memperoleh kembali modal mereka.


Beliau yang memiliki perniagaan Zue Kek Lapis Sarawak sejak hampir tiga dekad berkata dengan peningkatan jumlah ahli persatuan itu kepada 46 kini, beliau percaya permintaan barangan mentah dalam kalangan pengusaha turut meningkat kelak.


Sementara itu, pengusaha Ezza Kek Lapis, Azida Mohamad Hepni, 45, berkata beliau berharap agar pembeli memahami situasi pengusaha yang perlu menaikkan harga kek lapis.


“Ada juga kalangan pengusaha yang terpaksa kecilkan saiz bagi memastikan kualitinya tetap sama, dengan harga yang sama seperti dulu. Namun, ada juga pelanggan yang sanggup bayar mahal kerana kek lapis juadah utama di musim perayaan.


“Perniagaan kek lapis baru sahaja mahu merangkak semula kerana kami turut terkesan akibat COVID-19. Semenanjung Malaysia merupakan market terbesar kek lapis tapi tidak boleh dihantar kerana sekatan yang dibuat sebelum ini,” tambahnya. 


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.