MATA cadang agensi tipu jemaah haji dihukum penjara


KUALA LUMPUR—Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mencadangkan pihak berkuasa menjadikan kes penipuan jemaah haji oleh agensi pelancongan sebagai satu jenayah berat dengan hukuman penjara supaya perkara itu dapat dibanteras.


Presiden MATA Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata bagi mengelakkan ditipu, bakal jemaah haji yang berurusan dengan agensi pelancongan boleh menghubungi pihak MATA sekiranya mempunyai keraguan.


Beliau berkata bakal jemaah mesti mempunyai visa haji bagi menunaikan ibadah itu.


"Tentukan ada visa haji. Mohon penjelasan bukti sebelum memberi sebarang dokumen seperti pasport dan jangan bayar sebelum ada jaminan penerbangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 


Mohd Khalid turut mengingatkan agensi pelancongan supaya tidak memperdagangkan visa haji yang dianugerahkan kepada mereka sesuka hati dan mengenakan caj perkhidmatan yang berpatutan. 


"Pastikan agensi pelancongan sudah menerima tawaran (visa haji) yang diamanahkan baru mengundang jemaah haji,” katanya. 


Pada 7 Julai Bernama melaporkan 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.


Mereka dipercayai menggunakan visa furada iaitu  visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH). 


TH sebelum ini memberi peringatan mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan  adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.