Jumlah dagangan Sarawak naik kepada RM150.9 bilion

Dagangan Sarawak naik, Eksport, Import, Sarawak Update
Jumlah dagangan Sarawak naik kepada RM150.9 bilion berbanding RM118.1 bilion pada tahun sebelumnya. Gambar arkib

KUCHING—Jumlah perdagangan Sarawak bagi 2021 merekodkan pertumbuhan 27.8 peratus kepada RM150.9 bilion berbanding RM118.1 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.


Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata imbangan dagangan juga terus mencatatkan lebihan dengan nilai RM52.7 bilion, meningkat 45.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.


Beliau berkata selari dengan prestasi dagangan Sarawak, eksport dan import juga menunjukkan trend yang sama.


Katanya pada 2021, eksport turut meningkat 31.8 peratus kepada RM101.8 bilion, manakala import naik sebanyak 20.1 peratus tahun ke tahun kepada RM49.1 bilion.


“Pengembangan dalam eksport adalah seiring dengan permintaan yang lebih tinggi dari Semenanjung (+RM5.3 bilion), China (+RM4.9 bilion), India (+RM4.3 bilion), Jepun (+RM3.1 bilion) dan Kenya (+RM1.8 bilion).


“Bagi import, ia disumbangkan oleh peningkatan import terutamanya dari Semenanjung (+RM3.3 bilion) dan China (+RM1.7 bilion), diikuti Indonesia (+RM761.7 juta), Australia (+RM619.5 juta) dan Singapura (+RM609.1 juta),” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd Uzir berkata berdasarkan barangan, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh gas asli cecair (+RM6.3 bilion, +21.8 peratus), minyak sawit (+RM3.9 bilion, +35.5 peratus), petroleum mentah (+RM3.3 bilion, +45.5 peratus), aluminium (+RM2.7 bilion, +53.1 peratus) dan kondensat dan minyak petroleum lain (+RM2.0 bilion, +64.3 peratus).


Sementara itu, import pula dipacu oleh keluaran petroleum bertapis (+RM1.0 bilion, +64.1 peratus), bijih aluminium dan konsentrat (+RM973.4 juta, +52.3 peratus) dan pelbagai keluaran kimia (+RM720.9 juta, +34.6 peratus), katanya.


“Semenanjung merupakan rakan dagangan utama yang menyumbang 25.3 peratus kepada jumlah perdagangan Sarawak, diikuti China (17.9 peratus), Jepun (15.1 peratus), Republik Korea (6.7 peratus) dan India (6.6 peratus).


“Lima rakan dagangan ini merangkumi 71.6 peratus daripada jumlah perdagangan Sarawak pada 2021,” katanya.


 -- BERNAMA 

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.