Deruan air, gegaran sebelum rumah ditimpa tanah runtuh

Lokasi kejadian tanah runtuh yang mengorbankan dua kanak-kanak di kawasan Taman Elok, Jalan Bukit Nenas Kota Kinabalu malam tadi. Gambar BOMBA

KOTA KINABALU—Bunyi deruan air dan gegaran dirasai penduduk di kawasan Taman Elok, Jalan Bukit Nenas di sini sebelum kejadian tanah runtuh menghempap sebuah rumah setinggan menyebabkan kematian dua kanak-kanak di kawasan itu malam tadi.


Nenek kanak-kanak itu Arisa Barahim, 58, berkata ketika kejadian beliau berada di dapur dan terdengar bunyi deruan air serta berasa gegaran sebelum air kemudian tanah datang menimpa rumah mereka.


“Datang itu air dan tanah dari atas (bukit), aku ngam-ngam sini di dapur, terlompat cuba selamatkan diri sama (ahli keluarga) yang lain, anak aku sama cucu aku ada dalam rumah tertimbus.


“Siapa tidak sedih anak (Sabri Botong) sama cucu kena begitu, sama-sama orang lain cuba selamatkan mereka malam tadi tetapi cucu ku tidak nasib baik,” katanya dalam nada yang sebak kepada Bernama di tempat kejadian di sini hari ini.


Arisa, yang juga seorang suri rumah, berkata beliau tinggal di kawasan itu lebih 20 tahun dan rumah didiami bersama tiga anak, dua menantu dan tiga cucunya baru dibina kira-kira setahun lepas.


Dalam kejadian kira-kira pada 8.10 malam tadi, tiga mangsa tertimbus dan dua daripada mereka terkorban.


Mangsa yang terkorban ialah kanak-kanak perempuan Norain Jaziz, 11, dan kanak-kanak lelaki Isa Sabri, 2, yang kedua-duanya meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini manakala menantu Arisa, Siti Nur, 28, mengalami kecederaan patah tangan.


Suami Siti Nur iaitu Sabri Botong, 28, hanya mengalami cedera ringan di bahagian kaki.


Rahmah Botong, 36, anak kedua Arisa berkata ketika kejadian beliau sedang bekerja di Karamunsing di sini sebagai jurujual dan terkejut melihat rumah mereka musnah akibat tanah runtuh.


“Sampai di sini rumah jadi begini sudah, sedih bila keluarga saya kena begini tetapi kami akan tetap teruskan kehidupan,” katanya.


Razim Asalin, 52, adik kepada Arisa yang tinggal di kawasan berhampiran berkata beliau menerima panggilan telefon mengenai tragedi itu dan terus bergegas ke tempat kejadian bagi memberi bantuan.


“Sampai sini saya tengok rumah sudah runtuh dan saya bantu anak juga cucu saudara ke ambulans untuk dapatkan rawatan,” katanya yang juga seorang peniaga.


Majid Musa, 63, seorang penduduk di Bukit Nenas berkata ini merupakan kejadian pertama tanah runtuh serius sehingga menyebabkan kehilangan nyawa di kawasan itu dan turut mendengar bunyi deruan air serta berasa gegaran sebelum kejadian.


“Saya tinggal sejak 1984 di sini dan bukit ini tidak pernah begini (terjadi seperti ini), kita datang tolong keluarga dan ada tolong angkat barang juga kerana kita lama sudah tinggal di kawasan ini sama-sama,” kata buruh binaan itu.


 Sementara itu, tinjauan Bernama ke kawasan itu mendapati kawasan itu dipenuhi lumpur dan menyukarkan pergerakan selain rumah mangsa diperbuat daripada kayu serta zink, ranap ditimbus tanah serta lumpur.


Kawasan penempatan setinggan itu terletak di kaki Bukit Nenas yang curam dan berada di dalam hutan, lebih 100 meter dari kawasan rumah dan jalan utama di Taman Elok, Jalan Bukit Nenas di sini.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post