Jualan Murah Keluarga Malaysia mulai Ogos di 639 DUN setiap minggu

Annuar pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen, kelihatan sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kanan).

KUALA LUMPUR— Program Jualan Murah Keluarga Malaysia akan dilaksanakan di 639 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara setiap minggu mulai pertengahan Ogos, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.


Beliau berkata program yang memberi akses kepada rakyat untuk mendapatkan barangan lebih murah pada setiap minggu diadakan selama 18 minggu sehingga akhir tahun ini.


"Program ini akan melibatkan lima kementerian dan dijalankan berdasarkan satu garis panduan di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen di sini hari ini.


Annuar berkata lima kementerian terlibat telah mula mengambil tindakan bagi pelaksanaan program jualan murah mengikut garis panduan dan akan dipantau oleh KPDNHEP.


Selain KPDNHEP, empat kementerian yang akan bekerjasama bagi pelaksanaan program berkenaan ialah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Wilayah Persekutuan.


Sementara itu, Annuar berkata Suruhanjaya Koperasi telah membentangkan cadangan mengenai keterlibatan gerakan koperasi untuk menjual barangan keperluan termasuk barangan dalam senarai Skim Kawalan Harga seperti ayam, gula, minyak, tepung dan beras dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran.


Katanya, mekanisme tersebut akan melibatkan ribuan kedai koperasi di seluruh negara yang mempunyai keupayaan dan kapasiti untuk mengedarkan produk-produk keperluan.


“Konsepnya melalui kerjasama ini, harga barangan yang dijual mesti diturunkan, itu syaratnya. Kita diyakinkan harga produk adalah lebih rendah bagi kita membantu rakyat melalui kedai-kedai koperasi ini,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Annuar berkata komunikasi kepada rakyat berhubung sesuatu isu perlu ditingkatkan bagi memberi pemahaman dan penerangan, sekali gus dapat mengelakkan berlakunya salah faham. 


"Sebagai contoh pengumuman Kadar Dasar Semalaman (OPR), kalau dahulu memang sentiasa ada pengumuman dari semasa ke semasa tentang OPR tetapi ia tidak menarik perhatian orang ramai pun.


"...tetapi bila berlakunya pada masa ini dalam saat tekanan harga, tekanan inflasi maka isu OPR yang dinaikkan itu menjadi polemik," katanya.


Justeru, beliau berkata pasukan khas itu akan terus meningkatkan usaha dalam aspek komunikasi untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat. 


Selain itu, pasukan khas berkenaan juga akan diberikan maklumat terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang melibatkan keadaan semasa inflasi.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post