3,000 rumah mesra rakyat menjelang September: SPNB

Gambar arkib kredit SPNB

SEREMBAN—Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) optimis untuk menyiapkan 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara menjelang September ini sekali gus memastikan individu kurang berkemampuan mampu memiliki kediaman sendiri.


Pengerusi Bukan Eksekutif SPNB Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata sehingga Jun lepas, pihaknya telah mengeluarkan kesemua inden kepada kontraktor dan hanya menunggu kerja pembinaan yang perlu disiapkan dalam tempoh tiga bulan.


“Mungkin juga ada (tempoh) yang terlebih dalam empat ke lima bulan, itu kita akan bantu dari semasa ke semasa mengikut keadaan. Ketika ini kerja pembinaan sedang berjalan, kita akan pantau keadaan tersebut supaya RMR akan terus dilaksanakan.


“Jika mana-mana kontraktor ada masalah, mereka boleh jumpa pegawai kita untuk bincang bagi memastikan impian masyarakat memiliki rumah idaman mereka menjadi kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak rumah RMR di sini hari ini.


Dalam pada itu, beliau berkata hampir 150 daripada keseluruhan 6,900 unit RMR di seluruh negara terbengkalai sejak tahun lepas disebabkan kesan pandemik COVID-19, kenaikan harga bahan binaan serta masalah kontraktor yang gagal meneruskan kerja pembinaan.


Beliau berkata daripada jumlah itu, 60 unit rumah terbengkalai adalah di Negeri Sembilan yang sedang difokuskan SPNB untuk diselesaikan ketika ini.


Mohd Nizar berkata terdapat beberapa kontraktor terpaksa ditamatkan pelantikannya sehingga menjejaskan tempoh masa menyiapkan RMR terbabit kerana perlu mencari kontraktor baharu bagi memastikan pembinaan dapat diteruskan.


Jelasnya kenaikan harga pembinaan yang dihadapi seluruh negara pada penghujung tahun lepas juga menyebabkan beberapa inden dikembalikan kontraktor kepada SPNB sekali gus memberi kesan kepada pemohon yang menandatangani perjanjian pada tempoh tersebut.


“Masalah kontraktor ini kadang-kadang sampai lima ke enam kali kita tukar, mereka tak nak buat kita ganti sehingga ada yang boleh buat. Kita juga berbincang dengan kementerian mengenai harga bahan binaan, bagaimana kaedah memulihkan dan buat penyelarasan.


“Alhamdulillah pihak kementerian bantu kita, contoh kalau dulu isu pembayaran kepada kontraktor kita buat sebanyak dua kali sehingga projek siap, tapi sekarang kita bayar tiga kali supaya dapat bantu kontraktor yang ada masalah kewangan,” katanya.


Beliau berkata setakat ini tiada peningkatan nilai bagi RMR berlaku memandangkan kos setiap unit rumah berkenaan yang berjumlah RM75,000 telah ditetapkan kerajaan.


Bagaimanapun, jelas Mohd Nizar SPNB telah mendapat kelulusan untuk penyelarasan saiz keluasan rumah berkenaan yang akan dikecilkan sedikit berbanding sebelum ini bagi menyelesaikan isu kenaikan kos bahan binaan.


“Penyediaan pemilikan rumah mampu milik yang selesa untuk Keluarga Malaysia merupakan agenda utama SPNB menerusi gagasan ‘Malaysia Berdaya Huni’,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post