Pejalan kaki warga emas maut dilanggar motosikal dan kereta

Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar motosikal dan kereta  di Jalan Datuk Mohd Musa petang tadi. 

KOTA SAMARAHAN-- Seorang pejalan kaki warga emas maut setelah dilanggar motosikal dan kereta ketika melintas jalan di Kilometer 16 Jalan Datuk Mohd Musa petang tadi. 


Dalam kejadian sekitar  5.03 petang itu, mangsa dikenali sebagai Leong Ah Onn, 80, beralamat di Jalan Datuk Mohd Musa, Kota Samarahan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. 


Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata, hasil siasatan awal, kemalangan berlaku semasa pejalan kaki sedang melintas jalan dari arah sebuah pasar raya hendak ke seberang jalan, bertujuan membuang sampah.


"Semasa melintas jalan telah dilanggar oleh sebuah motosikal yang ditunggang remaja lelaki berusia 17 tahun yang datang dari arah Batu 7 hendak menuju arah Kota Samarahan.


"Selepas pejalan kaki tersebut dilanggar oleh motosikal, pejalan kaki tersebut tercampak ke sebelah kiri jalan arah ke Batu 7 dan dilanggar kali kedua oleh sebuah kereta yang dipandu seorang wanita, 44, yang datang dari arah Kota Samarahan menuju ke arah Batu 7," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Jelas Sudirman, akibat kemalangan ini pejalan kaki tersebut maut di tempat kejadian. 


"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat," ujarnya. 


Tambahnya lagi, keadaan cuaca semasa  kejadian adalah baik. 


Tegasnya lagi, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Next Post Previous Post