Penunggang motosikal maut bertembung 4WD

Penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah 4WD di Jalan Kampung Raso 2, petang tadi.

LUNDU-- Seorang penunggang lelaki maut setelah motosikalnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Kampung Raso 2 di sini petang tadi. 


Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damatarius Lautin berkata dalam kejadian 2.30 petang, mangsa dikenali sebagai Rijes Nohian, 30, beralamat di Kampung Raso 2, Lundu, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 


"Kemalangan membabitkan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa dan sebuah 4WD yang dipandu seorang petani lelaki, 44 tahun. 


"Siasatan awal mendapati motosikal mangsa apabila sampai di jalan lurus garisan berkembar dipercayai telah masuk ke laluan kenderaan 4WD terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Jelasnya,  mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang pergi di lokasi kejadian.  


Tambahnya, polis telah melawat tempat kejadian dan membawa kedua-dua kenderaan terlibat ke Balai Trafik Lundu untuk pemeriksaan Puspakom. 


"Selain itu, polis juga telah mengambil darah kedua-dua pihak untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan ujian darah," ujarnya. 


Katanya lagi, mayat mangsa juga dibawa ke Hospital Lundu untuk bedah siasat. 


Tegas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) 1987 Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Next Post Previous Post