Jaul bersara, Abu Bakar memangku Setiausaha Kerajaan Negeri

Datuk Amar Jaul menyerahkan tugas kepada Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, sebagai Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak berkuatkuasa 1 Julai 2022

KUCHING—Setelah hampir tiga tahun memegang jawatan Setiausah Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion secara rasminya bersara.


Menurut kenyataan media Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), tempoh perkhidmatan Jaul sebagai Setiausaha Kerajaan Sarawak tamat pada 30 Jun ini.


Berikutan itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki kini memangku jawatan Setiausaha Kerajaan Sarawak.


Jaul menggalas jawatan tersebut sejak 22 Ogos 2019.


Jaul menyerahkan tugas kepada Abu Bakar pada majlis ringkas di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.


Turut menyaksikan serah terima tugas itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Ik Pahon Joyik serta Pengarah-Pengarah dari Unit-unit di bawah Jabatan Premier Sarawak.


Selain itu, Jaul turut menyaksikan simbolik serah terima tugas Unit Imigresen dan Pengurusan Buruh (ILMU) daripada Unit Pentadbiran kepada Pengarah ILMU, Jack Meredu Ko.


ILMU telah ditubuhkan pada 28 Oktober 2021, berperanan untuk memudahkan dan mengawal selia kawalan kemasukan warga asing ke Sarawak dalam usaha meningkatkan keselamatan dan menjaga kepentingan negeri ini.


Objektif ILMU adalah untuk mengukuhkan keupayaan negara dalam merekabentuk serta melaksanakan dasar buruh dan imigresen yang berkesan, program dan proses pentadbiran untuk memaksimumkan kesan positif tenaga buruh asing, pelaburan dan perniagaan dari seluruh negara dan di luar negara bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.


Untuk rekod, Jaul telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam negeri lebih daripada 42 tahun.


Sebelum menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Sarawak, beliau merupakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Transformasi Luar Bandar) mulai 8 Ogos 2016 sehingga 16 Mei 2019 sebelum memangku jawatan Setiausaha Kerajaan Sarawak mulai 17 Mei sehingga 21 Ogos 2019.


Beliau juga merupakan anak Iban kedua yang menggalas jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Sarawak setelah pelantikannya dinilai berdasarkan pengalaman luas beliau di dalam perkhidmatan awam sebelum ini. 

Next Post Previous Post