351 sekolah daif di Sarawak, 107 tidak selamat - menteri

351 sekolah daif, Sarawak, Jabatan Kerja Raya, Berita Malaysia
Keadaan daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Moh, Baram. Gambar arkib kredit FB Usun Ng

PETALING JAYA— Kerajaan telah mengenal pasti sebanyak 351 sekolah daif di Sarawak dengan 107 daripadanya tidak selamat digunakan.


Menteri Pendidikan Radzi Jidin, berkata sebanyak 107 sekolah berskala 7 iaitu bangunan yang tidak selamat seperti disahkan Jabatan Kerja Raya (JKR).



“Manakala 244 sekolah lagi berskala 6 yang mempunyai bangunan tidak selamat seperti disahkan pihak teknikal Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),” katanya dipetik Free Malaysia Today baru-baru ini.


Radzi menjawab pertanyaan Larry Sng (PBM-Julau) dan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) mengenai jumlah sekolah di Sarawak dan Sabah berstatus daif.


Di Sabah, beliau berkata sebanyak 282 projek menaik taraf dan membangunkan semula bangunan daif telah diluluskan antara 2016 hingga 2022, dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.924 bilion.


“Sehingga 6 Jul, sebanyak 186 projek telah siap sepenuhnya, 32 projek dalam peringkat pembinaan dan 64 projek di peringkat prabina,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.


Mengenai status pembinaan sekolah baharu Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Kalabakan yang dikenal pasti dalam skala 6 masih dalam proses rundingan.


Radzi menambah, tapak tanah sekolah sedia ada masih belum berstatus hakmilik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP).


“Proses pemutihan tapak sekolah sedang dilaksanakan sebelum permohonan penggantian bangunan sekolah dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan agensi pusat,” katanya.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.