21 juta ciapan berkaitan Covid-19 di Malaysia

Gambar hiasan kredit Claudio Schwarz via unsplash

KUALA LUMPUR— Rakyat Malaysia telah menghantar sejumlah 21 juta ciapan berkaitan COVID-19 di negara ini sejak Jun 2019 hingga kini, menurut Twitter dalam kenyataannya hari ini.


Kenyataan itu menyebut rakyat Malaysia beralih kepada Twitter sebagai sumber sahih bagi mendapatkan maklumat daripada mengenai pembelian panik hingga kepada vaksin dan varian baharu (COVID-19).


Ketua Ketua Dasar Awam, Kerajaan dan Kedermawanan Asia Tenggara Twitter Monrawee Ampolpittayanant berkata di Twitter keselamatan menjadi keutamaan dan organisasi itu amat komited dalam memastikan orang ramai yang menggunakan perkhidmatannya dilindungi daripada daripada maklumat salah yang berbahaya terutamanya semasa krisis.


“Menyedari pentingnya peranan kami dalam memudahkan akses kepada maklumat yang boleh dipercayai semasa pandemik, kami (Twitter) memperkenalkan dasar maklumat salah COVID-19 kami pada 3 April 2020 bagi membantu rakyat Malaysia mencari maklumat yang boleh dipercayai, selain berhubung dengan orang lain dan mengikuti perkembangan terkini yang sedang berlaku,” katanya.


Monrawee berkata aspek utama dasar tersebut termasuk memperkenalkan label dan dalam beberapa keadaan mengalih keluar kandungan pada perkhidmatan yang mengandungi atau mempromosikan maklumat mengelirukan COVID-19 yang berbahaya.


“Ketika negara-negara di dunia mula melancarkan vaksin COVID-19, Twitter memperluaskan dasar maklumat salah COVID-19 dengan memasukkan ciapan yang mengandungi maklumat mengelirukan tentang vaksin tersebut.


Sejak Twitter memperkenalkan panduan COVID-19, 11.72 juta akaun telah dicabar, manakala 8,558 akaun digantung dan 85,885 kandungan dialih keluar di seluruh dunia dari Januari 2020 hingga Jun 2022,” katanya.


Sementara itu, kenyataan itu menyebut di Malaysia, Twitter telah bekerjasama dengan rakan kongsi setempat seperti Kementerian Kesihatan (@KKMPutrajaya) untuk mempromosikan kempen vaksinasi #COVID19 di seluruh negara dan menggunakan TwitterSpaces bagi berhubung dengan orang awam dan media, selain menyediakan maklumat terkini berkaitan COVID-19 daripada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (@Khairykj). 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post