Uggah: Sarawak kaji jalan balak, ladang untuk dinaiktaraf


KUCHING--Kerajaan Sarawak kini sedang melakukan kajian berhubung jalan-jalan pembalakan dan ladang kelapa sawit yang sesuai untuk dibaiki dan dinaik taraf di negeri ini.


Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, usaha berkenaan dijalankan sebagai usaha menghubungkan semua penempatan di Sarawak dengan kemudahan akses jalan raya.


“Ini merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD).


“Justeru itu, saya telah mengarahkan semua jurutera bahagian di Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenal pasti dan melaporkan mana-mana penempatan yang masih tiada akses kepada jalan raya,” katanya dalam perutusan khas Sambutan Gawai Dayak 2022 hari ini.


Mengulas lanjut kata Uggah yang juga Menteri MIPD, sejumlah 6,521 jumlah keseluruhan penempatan direkodkan di Sarawak berdasarkan data yang diperoleh dari JKR setakat Mac lalu.


Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 3,819 penempatan mempunyai akses kemudahan jalan raya, 1,388 mempunyai akses tersebut namun jalan perlu dinaik taraf sementara 1,314 tidak mempunyai sebarang kemudahan jalan.


Sarawak ketika ini mempunyai 30,650 kilometer (km) Jalan Negeri dan 1,591 km Jalan Persekutuan dan daripada jumlah itu, 5,645 km dalam keadaan memuaskan manakala penaiktarafan difikirkan perlu untuk 4,200 km.


“Angka ini tidak termasuk ladang kelapa sawit persendirian dan jalan kem balak,” katanya sambil menambah terdapat beberapa cadangan untuk membina kira-kira 6,000 km jalan baharu. 


Sementara itu, beliau turut mengingatkan semua masyarakat yang menyambut perayaan Gawai Dayak supaya berhati-hati semasa memandu atau menggunakan bot untuk sampai ke destinasi.


“Jangan memandu jika anda mengambil terlalu banyak minuman beralkohol. Begitu juga, apabila memasak di dapur semua pihak harus berhati-hati.  


“Pastikan anda tidak terganggu dan jangan biarkan api tanpa pengawasan.  Kami tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku merosakkan kegembiraan Gawai anda,” katanya.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.