Tarian koboi sengaja dipolitikkan oleh pihak berfikiran kotor, bidas Tiong
Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Sri Tiong King Sing |
KUCHING—Dakwaan persembahan 'Cowboy Dance' pada Majlis Sambutan Gawai di Sibu sebagai "tarian kotor" dan "pencemaran kesucian perayaan Gawai" adalah tidak wajar.
Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Sri Tiong King Sing berkata, malah dakwaan tersebut sekali gus menganiaya penghibur yang tidak bersalah.
"Pesta Gawai Dayak disambut secara meluas untuk menghormati kewujudan pelbagai budaya dan harmoni semua kaum. Malangnya, ia telah diubah menjadi isu perkauman.
"Tangkapan skrin penghibur pada majlis makan malam Gawai Dayak baru-baru ini telah dikongsi dalam media sosial dan mengganggu kehidupan seharian mereka yang terlibat dengan acara itu," katanya dalam kenyataan semalam.
Tiong menjawab kenyataan Paul yang mengecam tarian yang didakwa berunsur fitnah iaitu menyajikan tarian separuh bogel semasa Majlis Gawai Dayak di Sibu Sabtu lalu, yang telah menimbulkan kecaman dalam kalangan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu berkata mereka yang berniat buruk tidak akan dapat mengalihkan pandangan mereka walaupun para penghibur berpakaian lengkap.
Tiong yang merupakan antara tetamu kenamaan dalam majlis yang diadakan 11 Jun lalu berkata, Presiden Kongres Kebangsaan Dayak (DNC) Paul Raja sepatutnya meminta maaf kerana "berfikiran kotor" mengenai persembahan tarian itu pada majlis tersebut.
"Paul telah mendakwa bahawa persembahan tersebut sebagai "tarian kotor" dan "pencemaran kesucian perayaan Gawai" di luar konteks, sekali gus menganiaya penghibur yang tidak bersalah.
"Justeru itu, Paul Raja yang harus memohon maaf kepada penghibur dan orang ramai kerana mengambil persembahan di luar konteks, memperkecilkan persembahan kebudayaan dan seni, dan mewujudkan isu yang tidak perlu.
"Ini kerana semua jenis tarian perlu dihormati sama rata.
"Mungkin dia tidak dapat menahan diri untuk mencipta gosip dan berkeras untuk mengubah persembahan yang tidak bersalah menjadi sesuatu yang lucah di kepalanya. Persembahan tarian telah bertukar menjadi isu politik," katanya.
Menafikan dakwaan tarian berbogel, beliau berkata pakaian yang dipakai oleh penghibur pada malam itu tidak seperti yang didakwa.
"Seperti penghibur di Hawaii yang berjemur tanpa baju di pantai, adakah mereka ini perlu meminta maaf juga, berdasarkan hujah Paul?
"Tindakan beliau tidak boleh dibiarkan atau dibiarkan berleluasa di Malaysia Timur,” katanya.