Sarawak sedia kolaborasi dengan Indonesia pulihara ekosistem paya bakau, Abang Johari

Abang Johari ketika menyempurnakan upacara pecah tanah. Gambar kredit Jabatan Penerangan Sarawak 

LUNDU—Sarawak sedia bekerjasama dengan Indonesia dalam  memulihara ekosistem paya bakau di Kepulauan Borneo sebagai tempat penyimpanan karbon.


Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan Konsulat Jeneral Republik Indonesia untuk bekerjasama.


“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Konsulat Jeneral Republik Indonesia berhubung perkara tersebut.


Abang Johari ketika menyampaikan ucapan perasmian. Gambar kredit Jabatan Penerangan Sarawak 


Mungkin kita boleh bekerjasama dalam memuliharakan kawasan bakau sekali gus tempat penyimpanan karbon nanti,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pentadbiran Lundu Yang Baharu bertempat di Tapak Pusat Pentadbiran Lundu di sini, petang tadi.


Abang Johari menambah, sambil memelihara alam sekitar melalui penyimpanan karbon, pemuliharaan kawasan bakau di Sarawak juga boleh menjana pendapatan tambahan.


Katanya, Sarawak memiliki kawasan Tanah Ramsar yang luas bermula dari Kuching hingga ke Lawas. 


Katanya, ekosistem ini mesti dipelihara kerana ia menjadi mesej yang jelas kepada dunia bahawa Sarawak mementingkan pemuliharaan alam sekitar.


“Kita juga boleh membuat kajian terhadap ekosistem bukan sahaja dari segi simpanan karbon, malah produknya termasuk gula apong.


Sebab itu, kita tubuhkan Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah (SNDB) untuk mengawal dan mengurus hutan bakau Sarawak.


Foto model Bangunan Pentadbiran Sarawak Daerah Lundu. Gambar kredit Jabatan Penerangan Sarawak


“Antara objektifnya adalah untuk membangunkan pengeluaran produk daripada hutan bakau, dan kedua menyimpan karbon. Ini akan menjana pulangan besar kepada Sarawak" katanya.


Mengulas Pejabat Pentadbiran Lundu baharu, Abang Johari berkata ia akan dibina dengan reka bentuk terkini.


“Konsep moden ini sesuai dengan hasrat kita melihat daerah ini berkembang selari dengan pembangunan Sarawak.


Mengikut perancangan, bangunan pejabat berkenaan akan dibina dengan ciri budaya tempatan dan menggunakan konsep Bunga Rafflesia yang hanya terdapat di Lundu,” katanya.


Beliau menambah, fasa pertama bangunan itu mengambil masa sekitar 18 bulan untuk disiapkan.


Untuk rekod, pejabat berkenaan akan dibangunkan di Lot 59 dan 60 dengan keluasan sekitar enam ekar dan kos keseluruhan bernilai RM24 juta. 

Next Post Previous Post