Panik dituduh selalu ambil ubat, mekanik rugi RM70,000


SEREMBAN— Seorang mekanik di Jempol mendakwa kerugian RM70,000 setelah diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai wakil dari klinik kesihatan dan pegawai polis pada 25 Mei lepas. 


Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 56 tahun itu mendakwa menerima panggilan memaklumkan mangsa melakukan kesalahan di bawah undang-undang Jabatan Kesihatan Malaysia kerana mengambil ubat sebanyak lapan kali di Klinik Kesihatan Ampang Baru, Ipoh, Perak.


Beliau berkata panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada seorang individu kononnya pegawai polis bernama Sarjan Lee dari Balai Polis Ipoh yang memberitahu lelaki itu terlibat dengan kes pengubahan wang haram.


"Mangsa diminta memindahkan wang dalam akaunnya untuk siasatan polis dan akan ditangkap jika tidak berbuat demikian. Lelaki itu turut dimaklumkan bahawa wang miliknya akan dipulangkan semula jika tidak terlibat dengan pengubahan wang haram.


“Percaya dengan perkara itu, mangsa kemudian membuat pindahan ke dua akaun berlainan dengan jumlah keseluruhan RM70,000," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Hoo berkata mangsa yang menyedari diperdaya membuat laporan polis pada 3 Jun lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Dalam kes berasingan, Hoo berkata seorang pekerja kilang berusia 36 tahun di Bahau mendakwa kerugian RM11,300 selepas terpedaya dengan perkhidmatan pelacuran secara dalam talian yang ditawarkan menerusi aplikasi WhatsApp pada 4 Jun lepas.


"Pada hari sama mangsa diminta memasukkan wang dan membuat 22 kali tambah nilai ke aplikasi aplikasi 'Razer Gold & Silver' berjumlah RM11,300," katanya.


Menurutnya selepas membuat pembayaran, lelaki itu diminta menghantarkan gambar kad pengenalan sebagai bukti pembayaran tersebut.


Hoo berkata mangsa yang berasa ditipu setelah dimaklumkan rakannya itu kemudian membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.