Lupakan Pejuang jika Dr M tidak terima Anwar, kata Guan Eng

Gambar Mahathir dan Guan Eng. Gambar kredit FB Lim Guan Eng


PETALING JAYA—Pakatan Harapan (PH) tidak akan bekerjasama dengan pemimpin Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad jika bekas perdana menteri itu menolak untuk menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin pembangkang di bawah pendekatan 'satu khemah besar', kata DAP.


Pengerusi DAP Lim Guan Eng menerusi laporan FreeMalaysiaToday (FMT) dipetik berkata, gabungan pembangkang bersedia untuk mengadakan rundingan bersama Pejuang bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tetapi dilihat 'sedang menutup pintu' berikutan kenyataan Tun Mahathir yang disiarkan dalam Utusan Malaysia awal pagi tadi. 


"Anwar adalah pemimpin PH dan jika Mahathir menolak untuk bekerjasama dengan PH kerana Anwar adalah pengerusi gabungan ini, maka tiada keperluan untuk bekerjasama (dengan Pejuang). Ia mudah," katanya.


Di bawah pendekatan 'satu khemah besar' dipimpin Anwar menyasarkan kerjasama daripada semua parti pembangkang, di bawah satu blok untuk berdepan Barisan Nasional pada PRU15. 


Pagi tadi, Tun Mahathir berkata partinya akan terus menolak untuk bekerjasama di bawah satu gabungan pembangkang bersama PH jika ia masih dipimpin Anwar atau Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan menyifatkan kedua-dua pemimpin itu mempunyai agenda kepentingan peribadi.


Mahathir dan Anwar merupakan dua pemimpin yang mempunyai hubungan yang 'bergelora', yang pernah menjadi anak didik kepada bekas perdana menteri itu sebelum dipecat dari Kabinet dan Umno pada 1998. 


Ia susulan dakwaan liwat dan rasuah terhadap timbalan perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu.


Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu kembali bekerjasama sekaligus berjaya menumpaskan BN pada PRU14, Mei 2018.


Pada tahun lalu, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata beliau memutuskan untuk bekerjasama dengan Anwar demi menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Guan Eng turut menafikan tuduhan Tun Mahathir bahawa disebabkan desakan Anwar kerajaan PH jatuh dua tahun lalu.


"Langkah Sheraton diketuai Muhyiddin dan Azmin Ali adalah penyebab utama kerajaan PH jatuh. Mahathir harus dipersalahkan kerana jadi pengkhianat."


Langkah Sheraton pada Februari 2020 menyaksikan BN, Bersatu, PAS, dan beberapa bekas pemimpin PKR diketuai Azmin bekerjasama menjatuhkan kerajaan PH.


Disebabkan ini, membolehkan Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri Kelapan.

Next Post Previous Post