Lori hanya boleh isi 250 liter diesel sehari, KPDNHEP


KUCHING—Hanya isian 250 liter diesel sehari dibenarkan kepada lori termasuk trak dan treler, jelas Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak Dato Stanley Tan.


Memetik laporan DayakDaily, beliau berkata, ia bagi mengelak kemungkinan penyalahgunaan subsidi kerajaan, iaitu berjumlah RM3.40 seliter bagi bahan api berkenaan. 



Tegas beliau, kementerian tidak mengarahkan mana-mana syarikat minyak mengehadkan bekalan diesel ke stesen minyak mereka.


Beliau bagaimanapun mengesyaki beberapa syarikat minyak mungkin mengehadkan bekalan diesel ke beberapa cawangannya berikutan disyaki berlaku kesalahan oleh pemandu kenderaan panjang yang mengambil kesempatan daripada keadaan semasa untuk mengaut keuntungan dengan cepat.


“Harga komersial diesel untuk kegunaan industri ketika ini ialah RM5.55 seliter. Industri seperti minyak sawit dan industri pembinaan tidak layak mendapat subsidi ini. Pemain industri perlu membayar harga diesel ini.


“Bagi orang ramai secara amnya, kerajaan menetapkan harga diesel pada 2.15 seliter. Ini bermakna bagi setiap liter yang dijual, kerajaan perlu memberi subsidi RM3.40.


“Kamu bayangkan sahaja, sebuah lori mempunyai kapasiti 250 liter untuk tangki penuh. Ini banyak, dan sudah pasti cukup untuk kenderaan panjang itu pergi dari Miri ke Kuching. Izinkan saya memberi anda bayangan yang lebih jelas tentang jumlah 250 liter. Kapasiti drum hanya lebih sedikit daripada 200 liter. Jadi anda boleh bayangkan berapa banyak 250 liter.


“Pemandu dengan kenderaan panjang 250 liter boleh menyalahgunakan keadaan semasa dengan mengisi tangki penuh dan menjualnya kepada industri. Cuba bayangkan berapa banyak yang dia boleh buat setiap perjalanan? Ia adalah 250 darab RM3.40, bermakna RM850. Dan RM850 itu adalah wang pembayar cukai yang anda dan saya sedang bayar,” katanya.


Beliau berkata, operasi perniagaan yang tidak beretika ini hanya menguntungkan pemandu lori dan merugikan golongan sasaran.


Tambah Stanley, pemandu lori ini hanya perlu pergi dari satu stesen ke stesen lain, mengisi tangki mereka, dan menjual diesel kepada pemain industri.


Tegasnya lagi, kerajaan telah mengeluarkan arahan untuk mengehadkan satu kenderaan kepada 250 seliter seperti yang jelas dinyatakan dalam arahan bertulis mereka bahawa kenderaan hanya boleh membeli tidak lebih daripada 250 liter setiap transaksi sehari sejak 17 Jun 2022. 


Kementerian juga melarang pembelian diesel dan petrol menggunakan tong, botol plastik atau mana-mana bekas tanpa kebenaran Pegawai Bekalan.


“Ini adalah arahan kami. Kami tidak mengehadkan kuota untuk stesen minyak, dan kami telah menyediakan diesel yang mencukupi kepada ibu pejabat syarikat petrol yang berbeza untuk diagihkan ke stesen minyak runcit mereka,” kata Stanley.


Pada hari Rabu, DayakDaily melaporkan Shell mengehadkan bekalan diesel ke stesen minyak runcitnya di seluruh Sarawak, yang membawa kepada kekurangan diesel yang ketara di seluruh negeri.

Next Post Previous Post