Hampir 50,000 kontraktor Melayu 'gulung tikar'


KOTA BHARU— Hampir 50,000 kontraktor Melayu terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat memperbaharui lesen atas pelbagai faktor terutama akibat terkesan dengan kenaikan ketara harga bahan binaan sejak 2018.


Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM),  Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz, berkata kekurangan projek susulan situasi pandemik COVID-19 juga menjejaskan kebanyakan kontraktor daripada kelas G1 hingga G4.


"Antara faktor yang menyebabkan mereka tidak boleh memperbaharui lesen adalah kerana tidak mempunyai baki akaun modal yang mencukupi mengikut kelas kontraktor masing-masing,”  katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Negeri Kelantan kali ke-45, di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Mohd Rosdi, yang juga Yang Dipertua PKMM Kelantan, berharap supaya kerajaan sentiasa melakukan pemantauan berhubung peningkatan harga bahan binaan serta membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi kontraktor Melayu ketika ini.


Beliau berkata rata-rata kontraktor ini tidak mampu menceburi bidang lain kerana kekurangan modal dan juga terpaksa menanggung hutang bank.


"Oleh itu, kita minta supaya kerajaan membuat pemantauan yang lebih kerap dan mengadakan perjumpaan dengan pihak pengeluar untuk melihat faktor sebenar berlaku peningkatan harga barang ini,” katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.