Buat apa kaji MA63 di London lagi, minta laporan dari Sarawak, kata PKR Sarawak


KUCHING—Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak membantah lawatan sekumpulan pakar undang-undang, penyelidik dan pegawai daripada kerajaan Persekutuan dan Sabah ke London untuk mencari dan mengkaji sebarang rujukan berkaitan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Ketua Penerangan Dan Komunikasi PKR Sarawak Abun Sui Anyit berkata, lawatan itu tidak mendatangkan hasil sepertimana yang pernah dilakukan oleh rombangan daripada Sarawak dahulu. 


Jelasnya, lawatan itu hanya membazirkan duit rakyat. 


"Saya tidak setuju lawatan ke London ini yang kononnya untuk buat kajian. 


"Kita sudah belajar dari lawatan yang dibuat rombongan Sarawak dulu. Hasilnya tidak didedahkan kepada rakyat Sarawak. Yang pasti menghabiskan wang rakyat Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Tegas Abun, apa gunanya mengadakan lawatan kalau akhirnya hasil kajian tidak didedahkan.


"Adakah siri lawatan yang diatur ini membuktikan bahawa wakil Malaya (Semenanjung), Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) tidak diberi Salinan Asal MA63 pada masa material?


"Kalau ada Salinan, buat apa lawatan ini selain membuang masa dan belanja?," soalnya lagi. 


Justeru, beliau mencadangkan agar kumpulan tersebut mendapatkan maklumat hasil daripada rombongan Sarawak terdahulu. 


"Hentikan sahaja rancangan ini. Rombongan Sarawak boleh maklumkan kepada rakyat Malaysia hasil kajian mereka. Cukup!," tegasnya. 


Terdahulu, Bernama dipetik berkata, sekumpulan penyelidik dan pegawai daripada kerajaan Persekutuan dan Sabah akan berada di London untuk mencari dan mengkaji sebarang rujukan berkaitan hak negeri di bawah Perjanjian MA63. 


Kumpulan itu diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, dijadualkan berlepas ke London pada 19 Jun ini selama seminggu.


"Penyelidikan awal menunjukkan lebih 300 dokumen merujuk kepada hak kami dan perkara yang berkaitan dengan MA63 di Arkib Negara di London.


"Terdapat begitu banyak salah tanggapan dan sudah tiba masanya untuk menetapkan rekod yang betul. MA63 bukan sekadar perjanjian, oleh itu kami memerlukan semua fakta dan angka untuk membolehkan kami membuat tuntutan yang menjadi hak kami," kata Ongkili dalam kenyataan.


Antara ahli pasukan itu ialah Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof; Utusan Khas Sabah ke Kawasan Pembangunan ASEAN Timur-Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Tan Sri Pandikar Amin Mulia serta pegawai undang-undang dan tertinggi dari pejabat kementerian dan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dan Jabatan Ketua Menteri Sabah.


Ongkili berkata, wakil tambahan dari kerajaan Sabah mungkin akan menyertai misi itu dan senarai masih disiapkan.

Next Post Previous Post