Sarawak mesti ambil alih tanggungjawab infrastruktur dari Kerajaan Persekutuan, bekas Menteri JKR PH


KUCHING—Sarawak perlu mengambil alih tanggungjawab infrastruktur daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi merapatkan jurag pembangunan antara negeri dan Semenanjung, kata Baru Bian (PSB-Ba Kelalan).


Memetik laporan The Borneo Post, beliau berkata, dengan itu Sarawak boleh memberi keutamaan, merancang dan mereka bentuk jaringan perhubungan sendiri berbanding berharap dengan kerajaan pusat untuk memutuskannya.


"Adalah lebih baik jika kerajaan pusat menyerahkan sebahagian bajet infrastruktur yang munasabah kepada kita (Sarawak) dan memberi kita kebebasan untuk merancang dan melaksanakan projek yang kita perlukan di negeri ini," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.


Baru berkata infrastruktur pengangkutan Sarawak juga jauh ketinggalan berbanding Semenanjung.


"Jalan-jalan utama yang menghubungkan bahagian adalah jalan-jalan persekutuan yang dibina dan diselenggara oleh kerajaan pusat manakala kerajaan negeri bertanggungjawab ke atas jalan negeri.


“Jalan persekutuan adalah semua jalan yang diisytiharkan di bawah Ordinan Jalan Persekutuan (1959) dan jalan antara bandar utama yang menghubungkan ibu negeri dan jalan menuju ke pintu keluar masuk negeri.


“Ini bermakna keputusan mengenai pembinaan sistem perhubungan antara bandar dan pekan utama kita dibuat oleh kerajaan Persekutuan, peruntukan untuk projek sebegitu, dan selalunya pelantikan kontraktor, dibuat oleh kerajaan Persekutuan,” katanya.


Selain itu, Baru memberitahu, seperti projek Lebuhraya Pan Borneo yang akan menghubungkan Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan Indonesia.


“Projek itu masih belum siap, dan kita telah melepasi 59 tahun menjadi rakan kongsi dengan Semenanjung dalam membentuk Persekutuan Malaysia,” tambahnya.


Mengenai pendidikan, beliau berkata masih banyak sekolah yang usang, penurunan standard, buku teks, kekurangan guru dan kemudahan sekolah di Sarawak, terutama di kawasan luar bandar.


Tegasnya, Sarawak sepatutnya mempunyai autonomi dalam hal-hal dasar dan pentadbiran dalam bidang pendidikan, berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


"Ramai berpendapat bahawa adalah satu kesilapan untuk kerajaan negeri melepaskan autonomi ini pada tahun 70-an.


"Justeru, untuk mengejar jurang dalam sistem pendidikan kita, kita perlu dapat membuat keputusan tentang bagaimana kita mahu anak muda kita dibentuk dan bersedia untuk menghadapi masa depan. Kita perlu menetapkan standard kita sendiri, untuk masa depan rakyat kita dan untuk Sarawak,” tambahnya.


Selain itu, beliau berkata, sistem penyampaian dan dasar kesihatan Sarawak terletak di bawah bidang kuasa kerajaan pusat yang mana kerajaan negeri terpaksa bersaing dengan negeri-negeri di Semenanjung bagi mendapatkan sumber dari segi infrastruktur, pakar perubatan dan peralatan.


Tambahnya, banyak hospital dan klinik di Sarawak perlu ditambah baik dan diselenggara termasuk keperluan tambahan doktor pakar, jururawat dan kakitangan sokongan lain.

Next Post Previous Post