Larangan MPOB punca makanan ternakan mahal

Dr Ng Siew Thiam

KUCHING— Industri ternakan di Sarawak menghadapi kekangan dalam mendapatkan bekalan dan akses bagi kek isirung sawit (PKC), kata Persatuan Ternakan dan Penternak Sarawak.


Wakil persatuan itu, Dr Ng Siew Thiam menerusi laporan The Borneo Post dipetik berkata PKC adalah produk sampingan selepas proses perahan minyak isirung sawit yang mana ia banyak didapati di Indonesia dan Malaysia, yang merupakan negara pengeluar minyak sawit terbesar di dunia.


Jelasnya, simpanan dan penggunaan PKS adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).


"Mereka telah menggalakkan penternak menggunakanya. Ia adalah sumber tenaga yang bagus atau serat yang baik untuk haiwan ruminan dan juga babi dan pada tahap tertentu, selepas penapaian dilakukan, ia bagus untuk ayam,” katanya.


Bagaimanapun, Dr Ng berkata, sekarang amat sukar untuk membeli PKS yang menjadi kemelut para penternak.


Jelasnya, ia berikutan kekurangan bekalan di pasaran.


"Kami telah berjumpa pembekal dan mereka memberitahu bahawa mereka fokus kepada pasaran luar," tambahnya.


Malah, katanya lagi, pembekal PKC tempatan mengambil tempahan untuk jumlah yang besar yang mana penternak di sini adalah kecil.


"Dan MPOB juga mengawal lesen bagi perdagangan. Anda (penternak) tidak mempunyai lesen untk menyimpan dan menggunakan serta ia sukar untuk dibeli," keluh Dr Ng.


Justeru, tegasnya, persatuan itu berharap isu PKC tersebut dapat diatasi dengan segera.


Tambahnya, pihaknya mencadangkan agar PKS didapatkan dari Indonesia yang dilihat lebih murah.


"Tetapi kita tidak dapat mengimport kerana mereka (MPOB) tidak memberi lesen untuk mengimport. Jadi keadaan ini sangat mengekang penternak dalam mendapatkan bekalan PKC," ujarnya.


Sehubungan itu, beliau berharap mereka dapat diberikan lesen untuk mengimport PKC dari Indonesia.


Untuk makluman, PKC adalah digunakan untuk menggantikan dedak sebagai sumber makanan haiwan ternakan.

Next Post Previous Post