Pusat operasi judi diserbu, sembilan ditahan termasuk remaja Indonesia 13 tahun


KUCHING-- Polis menyerbu sebuah pusat operasi dan pengurusan judi dalam talian (pusat panggilan) yang berselindung disebalik rumah kediaman di Jalam Rock di sini pada Isnin lalu. 


Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, serbuan itu dijalankan sekitar jam 7 malam hasil daripada risikan maklumat yang telah dilakukan sebelum ini . 



"Dalam serbuan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching telah berjaya menahan seramai lima lelaki dan empat wanita yang mana kesemuanya merupakan warganegara Indonesia dalam lingkungan umur 13 hingga 25 tahun. 


"Polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk seunit monitor komputer , seunit pemprosesan komputer (cpu),  seunit komputer riba, router, modem dan peralatan lain dalam menjalankan kegiatan perjudian dalam talian tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini. 



Jelasnya, kesemua suspek telah di tahan untuk tindakan selanjutnya. 


Berdasarkan kepada rekod dan transaksi, Ahsmon mendedahkan, sindiket ini dipercayai telah menjalankan operasi sejak bulan disember 2021 sehingga kini. 


"Jumlah keuntungan kasar yang diperolehi dlam sehari adalah sebanyak RM2,000.


"Manakala purata pendapatan dalam tempoh enam bulan terakhir adalah sebanyak RM360,000," ujarnya. 



Tambahnya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 mana membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5, 000 dan tidak lebih dari RM50, 000 serta hukuman penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun. 


"Selain itu hendaklah dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM5, 000 dan tidak lebih RM50, 000 bagi setiap mesin judi yang dirampas dan turut di siasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63," jelasnya lagi. 


Dalam serbuan berbeza yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Sentral, Ahsmon berkata, tiga serbuan telah dilakukan dan berjaya menahan seramai dua lelaki warga Indonesia berumur 25 tahun dan seorang wanita warga tempatan berumur 18 tahun kerana disyaki menjalankan kegiatan perjudian atas talian di kawasan pentadbiran Balai Polis Sentral. 


Menurutnya tiga kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. 


Sehubungan itu, beliau memberitahu Op Dadu Khas akan diteruskan dan diperhebatkan lagi bagi membanteras perjudian haram yag merugikan ekonomi dalam aspek lesen dan cukai. 

Next Post Previous Post