-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Kucing mati bukan diracun, sebaliknya jangkitan parvovirus: JPV Terengganu

| Mei 25, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-05-25T10:33:01Z
Gambar tular kematian 20 ekor kucing secara serentak di kawasan peranginan Pantai Bukit Keluang dekat Besut pada 6 Mac lepas. Gambar arkib

KUALA TERENGGANU— Kematian 20 ekor kucing secara serentak di kawasan peranginan Pantai Bukit Keluang dekat Besut pada 6 Mac lepas bukan disebabkan racun, sebaliknya berpunca daripada jangkitan 'Parvovirus'.


Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Dr Anun Man berkata hasil ujian makmal yang dijalankan oleh JPV dan Jabatan Kimia mendapati tiada sebarang kesan racun ditemukan pada sampel bangkai haiwan itu.


"Hasil ujian diagnostik yang dilakukan tidak mengesan kewujudan racun seperti yang disyaki, namun kucing-kucing itu disahkan positif jangkitan Parvovirus yang boleh merebak dengan begitu cepat, melibatkan jumlah haiwan yang besar.


"Punca jangkitan ini adalah kerana kucing-kucing itu tidak divaksin, dan selain kucing, virus ini juga boleh menjangkiti anjing," katanya ketika ditemui pemberita di majlis sambutan Aidilfitri JPV Terengganu di sini hari ini.


Beliau tidak menolak kemungkinan kucing-kucing itu dibuang pihak tertentu setelah mendapati haiwan itu berpenyakit dan tidak boleh diselamatkan lagi.


"Namun tiada sebarang bukti yang boleh mengaitkan perbuatan ini dengan mana-mana pihak. Mungkin pemiliknya risau penyakit itu akan menular ke haiwan peliharaan yang lain, jadi langkah itu (membuang di pantai) yang diambil," kata Dr Anun.


Video 20 ekor kucing yang mati bergelimpangan di Pantai Bukit Keluang itu tular di media sosial sebaik sahaja dimuat naik oleh seorang kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada pagi kejadian, yang menimbulkan pelbagai reaksi daripada warganet.


Susulan itu, kakitangan JPV telah turun ke lokasi untuk membuat siasatan dan mengambil bangkai untuk dihantar ke makmal bagi mengetahui punca sebenar kematian.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update