Notification

×

Iklan

Iklan

Bekas suami Ziana Zain terlepas hukuman penjara, didenda RM8,000

| Mei 25, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-05-25T10:30:17Z

SHAH ALAM—Bekas suami penyanyi terkenal Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri  terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman denda RM8,000 kerana merotan tangan anak lelakinya, empat tahun lepas.


Hakim Hasbullah Adam membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan  Armin Zaharin, 57, bagi  mengetepikan hukuman penjara lapan bulan yang dijatuhi Mahkamah Majistret Shah Alam pada 28 Sept 2020.


Hasbullah menggantikan hukuman penjara itu dengan denda dan memerintahkan bekas pramugara itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Armin Zaharin membayar denda.


Mahkamah bagaimanapun menolak rayuan Armin Zaharin bagi mengetepikan sabitan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.


Hasbullah  turut menasihati Armin Zaharin supaya menjadikan kejadian itu sebagai pengajaran.


“Saya harap ini dijadikan satu pengajaran. Ingat kawal diri sedikit. Apa sahaja yang berlaku hubungan antara bapa dan anak tidak akan putus,” kata Hasbullah.


Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar mewakili pihak pendakwaan selaku responden manakala peguam Amir Farid Mohd Nawawi serta Danish Manoharan  mewakili Armin Zaharin sebagai perayu.


Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan selepas mendapati Armin Zaharin bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya, yang berumur sembilan tahun (ketika kejadian) menggunakan sebatang rotan di sebuah rumah di Denai Alam, di sini antara 8 malam dan 10.30 malam pada 24 Feb 2018.


Bapa kepada empat cahaya mata itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.


Sabreena bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Armin Zaharin ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.


Armin Zaharin ditahan pada 2 Mac 2018 selepas Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin, membuat laporan polis pada 27 Feb 2018.


Ziana yang popular dengan lagu “Madah Berhelah” dan Armin Zaharin, sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.


Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan tiga anak lelaki dan seorang perempuan.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update