Penduduk Hulu Medamit rayu kerajaan naik taraf jalan

Keadaan jalan luar bandar di Rumah Panjang Melaban dan Entakong Hulu Medamit yang rosak dan berlubang.

LIMBANG— “Sejak berpuluh tahun, penduduk rumah panjang Melaban dan Entakong di Hulu Medamit masih menggunakan jalan tanah. Jika musim hujan, jalan sangat licin dan membahayakan. Perkara ini sewajarnya diberi perhatian serius,” luah Tuai Rumah Ugak Sanggau dari Kampung Lubuk Simpor, dekat sini.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu memberi perhatian serius untuk menyelenggara jalan luar bandar di Rumah Panjang Melaban dan Entakong Hulu Medamit yang rosak dan berlubang.

Tuai Rumah Ugak Sanggau

Selain menaiktaraf jalan di kawasan pedalaman Limbang, Ugak berkata kerajaan harus mempercepat pembinaan jalan raya bagi menghubungkan Limbang dengan bahagian lain di Sarawak terutama Miri tanpa melalui Brunei.

Katanya, Limbang satu-satunya daerah yang tersepit dengan negara jiran Brunei dan berdepan kesukaran rentas daerah. 


“Kita harap pembinaan jalan dari Limbang ke Miri dapat dipercepatkan dengan membina jambatan Ulu Tutoh Baram bagi kemudahan penduduk di utara Sarawak khusus Limbang ke Miri.

“Sudah sekian lama penduduk di sini mengharungi pelbagai masalah kerana ‘menumpang’ jalan raya Brunei untuk ke Miri. Segala keluh resah rakyat termasuk keperluan untuk menikmati kemudahan perhubungan jalan raya yang selesa perlu dipenuhi, ini suara rakyat,” katanya kepada Borneo Network hari ini.


Ugak berkata, rakyat termasuk di Limbang sudah memberi mandat dan kemenangan besar kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


“Sokongan rakyat membolehkan GPS memenangi 75 daripada 81 kerusi sekali gus berjaya mengekalkan pemerintahani selepas menang besar pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) lalu.

“Inilah masanya kerajaan melalui agensi kerajaan membayar balik kepercayaan dan keyakinan rakyat yang diterjemaahkan melalui undi dengan bekerja lebih baik termasuk di kawasan pembangkang,” katanya.


Semalam, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dougglas Uggah Embas pada satu majlis di Kapit mengarahkan semua Jurutera Bahagian JKR di Sarawak mengenal pasti penempatan luar bandar dan kampung-kampung di kawasan mereka, yang masih tiada perhubungan jalan raya bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil tindakan lanjut.

Beliau mahu semua jurutera berkenaan, menyerahkan maklumat tersebut kepada beliau dalam masa terdekat, sejajar dengan hasrat
kerajaan negeri untuk memastikan tiada penempatan luar bandar atau rumah panjang di Sarawak, tertinggal daripada dihubungi rangkaian jalan raya.
Next Post Previous Post