Syarikat pemaju projek perumahan Sentoria Borneo yang terbengkalai sudah muflis, dakwa Wan Junaidi


KUCHING: Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi mendakwa syarikat pemaju yang melaksanakan projek perumahan, Sentoria Borneo Land yang terbengkalai telah diisytiharkan muflis.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, perkara itu dimaklumkan Timbalan Premier selaku Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Sri Dr Sim Kui Huan yang memberitahu syarikat 'induk' pemaju rumah terbabit dikatakan berdepan masalah kewangan hingga syarikat diisytihar muflis.


"Apabila syarikat 'bankrap' (muflis), mereka tidak berkemampuan untuk meneruskan projek dan tapak tanah pembinaan tersebut telah 'mortgaged' (dicagarkan) kepada pihak bank," katanya dipetik menerusi laporan Utusan Sarawak semalam.

Berikutan itu, Wan Junaidi berkata, kerajaan Sarawak kini sedang mencari mekanisme terbaik bagi menyelesaikan masalah projek perumahan terbengkalai yang memangsakan pembeli di perumahan Sentoria Borneo Land di sini.

Tambahnya, beliau sedia maklum berhubung isu yang berlaku sejak empat tahun itu dan turut berasa terkilan dan kecewa terhadap kejadian yang menimpa rakyat di kawasan parlimennya.

Projek itu dikelola oleh anak syarikat Sentoria Group Berhad, Sentoria Borneo Land Sdn Bhd telah dilancarkan sekitar awal tahun 2018 di bawah Projek Bandar Peranginan Borneo Samariang di Petra Jaya.

Difahamkan, projek perumahan melibatkan tujuh fasa yang mana syarikat berkenaan hanya berjaya disiapkan dan didiami pembeli di fasa 1 hingga 4, sementara fasa 5 hingga ke 7 termasuk Rumah Spektra Medium (RSM) masih terbiar sehingga kini.

Dalam pada itu, Wan Junaidi mendedahkan, kerajaan negeri telah berusaha mengambil alih pelaksanaan projek membabitkan sebahagian tanah perumahan 'low cost', namun tidak berhasil.

Tambahnya, ini kerana tiada persetujuan diperolehi daripada pihak bank untuk tujuan itu menyebabkan kerajaan negeri menemui jalan buntu bagi membantu pembeli yang teraniaya.

Pada masa yang sama beliau menggesa agar pihak bank terbabit supaya bersikap terbuka.

Tegas beliau, sepatutnya kerajaan negeri dibenarkan untuk mengambil alih bahagian tanah untuk dibina rumah mampu milik kepada pembeli.

"Namun, saya dimaklumkan oleh Dr Sim bahawa kerajaan Sarawak sedang mencari mekanisme terbaik bagi menyelesaikan masalah tersebut setakat ini.

"Pihak bank sepatutnya memberikan kerjasama kepada Kerajaan Sarawak kerana dalam masa sama, pihak bank juga dapat bayaran balik oleh kerana pembayaran daripada pembeli masih kembali kepada mereka," jelasnya.

Menurut lagi, satu perundangan baharu berkaitan undang-undang perumahan di Sarawak perlu diubah demi memastikan pembeli rumah diberi perlindungan lebih baik.

"Apa yang penting, dalam pindaan undang-undang itu nanti, setiap pemaju tidak dibenarkan menjual rumah melainkan rumah telah siap sepenuhnya dan setelah hak milik tanah dikeluarkan baharu rumah tersebut boleh dijualkan kepada pembeli," tegasnya.

Pada tahun lepas, Sentoria Borneo Land Sdn Bhd dalam surat rasmi syarikat itu menjelaskan, pandemik COVID-19 menyebabkan kemajuan pembinaan di semua tapak projek di bawah syarikat berkenaan telah terjejas secara negatif.

"Tambahan pula, kami sebelum ini menghadapi masalah dengan akaun HDA kami yang turut menjejaskan kemajuan projek tersebut.

"Sehubungan dengan itu, kami dengan sukacitanya menasihatkan bahawa isu akaun HDA telah diselesaikan dan terdapat rundingan yang sedang dijalankan dengan kontraktor sedia ada dan baharu serta pembekal untuk memulakan semula projek tersebut.

"Kami juga telah menubuhkan pasukan khas untuk mengendalikan semua komunikasi dengan pembeli rumah yang terjejas," katanya.

Bagaimanapun, sehingga kini syarikat tersebut masih gagal memenuhi janji berkenaan menyebabkan projek itu terus terbengkalai.

Malah, nasib pembeli rumah tidak diketahui kerana kelemahan Ordinan Pembangunan Perumahan Sarawak.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menerusi laporan Free Malaysia Today dipetik berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuching baru-baru ini menyebabkan pembeli rumah di Sarawak terdedah kepada eksploitasi pemaju.

Oleh itu, beliau menggesa pindaan terhadap undang-undang perjanjian jual beli (SPA) bagi hartanah demi memastikan pembeli rumah Sarawak diberi perlindungan lebih baik.

Jelasnya, undang-undang sedia ada tidak memberi perlindungan mencukupi kepada pembeli rumah di Sarawak daripada eksploitasi pemaju berbanding pembeli rumah di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi tidak dapat dihubungi.
Next Post Previous Post