PDRM terima 93,368 alamat IP kongsi kandungan lucah kanak-kanak

Gambar hiasan kredit Unsplash

KUALA LUMPUR—Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima puluhan ribu alamat protokol internet (IP) yang disyaki berkongsi kandungan lucah kanak-kanak di Internet daripada pihak berkuasa antarabangsa sejak enam tahun lepas.

Bagaimanapun akibat kekurangan tenaga kerja, jumlah tangkapan dan pemeriksaan yang dilakukan jauh lebih kecil daripada itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) ACP Siti Kamsiah Hassan berkata sejak 2017 hingga Mac tahun ini, PDRM menerima 93,368 alamat IP yang disyaki terlibat melakukan kegiatan itu daripada sistem perkongsian maklumat yang dianggotai antaranya Polis Antarabangsa (Interpol), Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dan National Center For Missing and Exploited Children.

Beliau berkata berikutan kekangan kakitangan terlatih untuk menapis dan meneliti maklumat diterima itu, hanya 103 alamat IP diperiksa yang membawa kepada penangkapan 50 individu.

“Maklumat yang diterima ini akan diteliti oleh unit siasatan Malaysia Internet Crime Against Children (MICAC) D11 yang ketika ini hanya dianggotai tiga pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.

“Oleh itu, D11 amat berharap peruntukan yang diumum kerajaan dalam Bajet 2022 melibatkan pertambahan perjawatan dan peruntukan kewangan dapat disalur dengan segera bagi memastikan bahagian ini dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menangani jenayah melibatkan kanak-kanak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat tahun lepas berkata peruntukan sebanyak RM13 juta dan 100 jawatan baharu diberi kepada D11 bagi memastikan sebarang bentuk keganasan dan jenayah terhadap golongan kanak-kanak dan wanita dapat dihentikan.

Siti Kamsiah berkata kertas kerja perancangan D11 mengenai peruntukan yang diberi itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam pada Mac lepas, dan kini pihaknya menunggu serta mengharapkan maklum balas yang positif.

Beliau berkata melalui peruntukan itu, pihaknya bercadang untuk menubuhkan MICAC di setiap kontinjen polis dengan sekurang-kurangnya seorang anggota penyiasat berbanding hanya tiga pegawai penyiasat di peringkat Bukit Aman ketika ini.

Katanya ia berikutan kegiatan melayari termasuk memuat naik dan memuat turun kandungan lucah kanak-kanak dilihat semakin meningkat setiap tahun.

“Berdasarkan maklumat yang kita terima, pada 2017 hanya 46 alamat IP disyaki terlibat dalam kegiatan itu dan ia meningkat kepada 2,660 alamat IP pada 2018, 2019 (9,017 alamat IP), 2020 (18,508 alamat IP), 2021 (48,752 alamat IP) dan 14,385 alamat IP pada tiga bulan pertama tahun ini.

“Jumlah penahanan juga menunjukkan peningkatan iaitu pada 2017 hingga 2019 hanya dua individu ditahan, kemudian meningkat kepada 22 orang pada 2020 dan 24 individu pada tahun lepas, manakala untuk tiga bulan pertama ini, dua orang telah ditahan kerana terlibat dalam kegiatan itu,” katanya.

Menurutnya trend peningkatan itu amat membimbangkan malah terdapat agensi-agensi penguatkuasaan antarabangsa yang menawarkan kerjasama kepada PDRM untuk mempertingkatkan lagi tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan berkenaan.

“Ini adalah masa yang amat perlu untuk kita memperkasakan Bahagian D11 dan unit MICAC dari segi perjawatan serta peralatan supaya lebih banyak data berkaitan kegiatan ini dapat dianalisis dan seterusnya membawa kepada penahanan mereka yang terlibat,” katanya.

Siti Kamsiah berkata penahanan pedofilia berusia 41 tahun berasal dari Lundu, Sarawak, yang dijatuhi hukuman penjara 48 tahun enam bulan dan 15 sebatan pada tahun lepas merupakan contoh penahanan yang dibuat melalui sistem perkongsian maklumat itu.

“Pedofilia itu bukan sahaja memuat naik video lucah kanak-kanak di ‘dark web’ atau web tertutup malah ada mengaku mencabul dan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak sejak dia belajar di sebuah universiti tempatan di Selangor pada 2002.

“Dia juga mengaku berkongsi perbuatan terkutuk itu dengan pedofilia lain di ‘dark web’ sekali gus menjadi dorongan perbuatan berkenaan diikuti oleh pedofilia lain,” katanya.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.