Panik dikatakan edar dadah, peneroka rugi RM39,000


SEREMBAN—Seorang peneroka di Jempol mendakwa kerugian RM39,000 setelah diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai polis pada 7 Mei lepas.


Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 72 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada LHDN dan kemudian disambungkan kepada seorang individu kononnya pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan yang memberitahu lelaki itu terlibat dengan kes pengedaran dadah.


"Percaya dengan perkara itu, mangsa kemudian membuat pemindahan wang melalui mesin deposit tunai ke dua akaun berbeza beberapa kali sejak hari sama hingga 10 Mei lepas kononnya untuk siasatan bagi menyelesaikan kes itu dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM39,000.


“Kesemua resit pemindahan wang mangsa telah diarahkan supaya dibuang oleh lelaki itu bagi mengelak dirinya dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Hoo berkata mangsa yang menyedari diperdaya membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.