Mabuk pecahkan dinding bangunan dan bermain dengan parang



SIBU-- Padah minum minuman keras hingga mabuk, tiga lelaki dicekup polis kerana kes khianat dengan memecahkan dinding cermin sebuah bangunan dan 'bermain' parang di tempat awam petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, ketiga-tiga suspek berusia 26 hingga 34 tahun itu ditangkap sekitar jam 5 petang selepas menerima aduan daripada orang awam.



"Polis menerima aduan bahawa terdapat tiga lelaki dalam keadaan mabuk telah memecahkan dinding bangunan dengan menggunakan senjata jenis parang dan melibas-libaskan parang di tempat awam. 

"Bertindak atas aduan itu, sepasukan polis terdiri daripada Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dan Unit Bermotosikal Polis (URB) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu ke tempat kejadian dan berjaya menangkap ketiga-tiga suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain tangkapan, jelasnya polis turut dirampas sebilah senjanta jenis parang daripada salah seorang suspek. 

Zulkipli mendedahkan semasa tangkapan dibuat ketiga-tiga suspek di bawah pengaruh alkohol dan bertindak agresif. 



"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," tegasnya.

Selain itu, beliau memberitahu ujian saringan COVID-19 ketiga-tiga suspek didapati negatif.

"Mereka kini direman empat hari untuk siasatan lanjut," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam agar tidak membawa sebarang jenis senjata berbahaya di tempat awam dan mabuk di tempat awam.
Next Post Previous Post