Lambat siap salah, bekerja keras salah

Kredit gambar Phu Yong Yau

KUCHING-- Kesesakan teruk yang berlaku di sepanjang laluan Batu 6 hingga ke Batu 10 disebabkan pihak kontraktor sedang bekerja keras hingga lewat malam bagi menyiapkan satu lorong Jejambat Batu 7. 


Ini bagi membolehkan jejambat berkenaan dapat dibuka untuk orang ramai sebelum menjelang perayaan Hari Gawai Dayak ini. 


 

Justeru, orang ramai terutamanya pengguna jalan raya di laluan berkenaan diharap dapat bersabar dan mengambil langkah keselamatan sepanjang mengguna laluan tersebut. 


Sementara itu, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Jejambat Batu 7 akan dibuka satu lorong kepada orang ramai mulai hujung bulan ini. 


"Menjadi harapan saya agar satu lorong jejambat ini dapat dibuka dan digunakan pada awal Jun ini bagi mengurangkan kesesakan di sepanjang laluan ini," katanya kepada Sarawak Update.


 

Terdahulu, pihak kontraktor memaklumkan, kesesakan luar biasa yang berlaku malam tadi disebabkan pihaknya bekerja lebih masa untuk melakukan kerja-kerja penurapan agar satu lorong di laluan Jejambat Batu 7 dapat dibuka kepada orang awam hujung bulan ini. 


Unit Lebuhraya Pan Borneo Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam hantaran di Facebook rasminya memaklumkan kerja-kerja penurapan (premix) sedang dilakukan oleh pihak kontraktor di sekitar Jejambat Batu 7. 


Sementara itu, pasukan Trafik daripada pihak kontraktor telah ditugaskan untuk mengawal keadaan trafik di kawasan yang terjejas.


"Untuk makluman semua, seperti yang telah dinyatakan oleh Menteri Kerja Raya pada Ahad lalu, Jejambat Batu 7 akan dibuka (satu lorong) kepada awam sebelum menjelang perayaan Hari Gawai ini.


"Pihak kontraktor kini sedang giat menyiapkan kerja-kerja bagi pembinaan jejambat berkenaan.


"Pengguna diingatkan untuk sentiasa berhati-hati memandu ketika melalui kawasan pembinaan," ujarnya.


Malam tadi, Pembantu Khas Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian membuat hantaran di Facebooknya berhubung kesesakan luar biasa di laluan berkenaan, menuntut ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap turun padang melihat masalah tersebut. 


"Saya memahami dan merasai apa yang dialami pengguna jalan raya di laluan ini. Ini disebabkan kelewatan pembinaan projek jejambat di Batu 6 dan Batu 7


"Pada Januari ADUN Kota Sentosa dengan bangga memberitahu ia akan siap April dan meminta bersabar. Tetapi bulan April telah berlalu, Timbalan Premier Sarawak kemudian mengumumkan ia siap Jun ini. 


"Namun hanya tinggal seminggu sahaja untuk tiba bulan Jun dan masih banyak yang belum siap," ujarnya. 

Next Post Previous Post