Kontraktor, rakyat tempatan diberi keutamaan bina Lebuh Raya Pan Borneo

Program Jelajah FTRoadpedia Kementerian Kerja Raya bersama Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof

KOTA KINABALU—Akademi Binaan Malaysia (ABM) Sabah sentiasa bersedia melahirkan lebih ramai tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi dalam sektor pembinaan di negeri itu, termasuk menyediakan tenaga kerja bagi menyiapkan projek Lebuhraya Pan Borneo.


Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Kurup berkata kerajaan Persekutuan telah memberi komitmen bagi memastikan baki 19 daripada 35 pakej kerja dalam fasa pertama projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah disiapkan dalam tempoh lima tahun.


Arthur (kanan) menerangkan kepada Fadillah perkembangan terkini Projek Pan Borneo Pakej Kerja WP 6 bagi menaiktaraf Jalan Dari Putatan Ke Inanam.


Beliau berkata ABM yang merupakan pusat penilaian dan latihan di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), dilihat sebagai agensi terbaik untuk memenuhi keperluan tenaga kerja bagi merealisasikan komitmen itu menerusi kursus kemahiran dan pensijilan disediakan.


"Selain meningkatkan jaringan perhubungan dan infra rakyat, tujuan utama pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini juga untuk memastikan kontraktor tempatan dan rakyat tempatan diberi keutamaan termasuk dalam aspek peluang pekerjaan.


"Kita memerlukan ramai tenaga kerja (untuk menyiapkan Lebuhraya Pan Borneo Sabah). Justeru, CIDB khususnya ABM adalah agensi terbaik untuk memastikan rakyat khususnya belia Sabah disediakan dengan kemahiran sesuai untuk memenuhi peluang pekerjaan diwujudkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Terdahulu, Arthur mendengar taklimat daripada Pengarah ABM Sabah Tadzul Radim dan Pengurus Besar Kanan CIDB Naidatul Mazidah Latif sebelum melawat kompleks sementara ABM Sabah yang terletak di Kampung Kayu Madang, Telipok, dekat sini, sempena program Jelajah FTRoadpedia Kementerian Kerja Raya.


Arthur berkata ABM Sabah telah melatih seramai lebih 74,000 belia dan personel binaan sejak ia ditubuhkan pada Mac 2001, dengan kadar kebolehpasaran lepasan pelatih akademi itu juga adalah tinggi iaitu 90 peratus.


ABM Sabah menawarkan 33 bidang kemahiran berimpak tinggi seperti pemasangan perancah; operasi kren; pemasang paip gas dan pelukis pelan teknikal.


Sementara itu, Arthur berkata, ABM Sabah turut meletakkan sasaran untuk meningkatkan kapasiti pelatih daripada kira-kira 2,000 orang belia dan personel binaan kepada 10,000 orang setahun menerusi pembangunan kampus tetap yang dicadangkan dibina di Kampung Beringgis, Papar.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post