Kerajaan sukar berhubung dengan pemaju Malaya, Abdul Rahman Junaidi

Kes rumah terbengkalai projek perumahan Sentoria Borneo Semariang Garden adalah yang pertama berlaku melibatkan pemaju dari luar Sarawak— Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

KUCHING—Kes rumah terbengkalai projek perumahan Sentoria Borneo Semariang Garden adalah yang pertama berlaku melibatkan pemaju dari luar Sarawak iaitu Kuala Lumpur, kata Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Disebabkan itu kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai tersebut, kerajaan mengalami kesulitan untuk berhubung dengan pihak pemaju bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi pembeli.

"Bagaimanapun, Kerajaan Sarawak sedang berusaha untuk memastikan projek tersebut dapat disiapkan sekali gus membantu pembeli yang telah membeli rumah di kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis Hari Raya Aidilfitri, di salah satu hotel terkemuka di sini, semalam.

Sementara itu, kemelut yang dihadapi pembeli dijangka akan menemui jalan penyelesaian apabila kerajaan negeri memberi jaminan akan mengambil alih projek perumahan berkenaan apabila segala kes perundangan syarikat pemaju diselesaikan.

Jaminan tersebut disuarakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Hotel Raia, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata kerajaan negeri ketika ini masih menunggu penyelesaian berkaitan isu perundangan syarikat berkenaan sebelum mengambil alih projek itu.

"Kita hanya akan dapat mengambil alih projek itu apabila segala masalah serta kes perundangan syarikat pemaju berkenaan telah diselesaikan kerana pemaju terbabit adalah syarikat senarai awam," katanya.

Sehubungan itu Abdul Rahman berkata, sekiranya kerajaan negeri mengambil alih pembangunan semula projek perumahan tersebut, kerajaan akan mengutamakan pembeli yang memiliki Perjanjian Jual dan Beli (S&P) serta telah membuat pembayaran setiap bulan.

Katanya, bagi pembeli yang sudah membayar pembiayaan rumah setiap bulan tetapi rumah masih belum siap, tumpuan akan diberikan kepada mereka.

“Keadaan ini merupakan satu berita yang mengecewakan kerana masalah yang ditanggung oleh pembeli rumah susulan potongan gaji setiap bulan namun, tidak menunjukkan sebarang hasil,” kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi II (Utiliti) tersebut.

Beliau menambah terdapat tiga kategori pembeli yang terlibat dalam pembelian perumahan tersebut antaranya adalah terdiri daripada pembeli yang membuat pinjaman dengan agensi kerajaan negeri iaitu melalui Borneo Housing.

Selain itu katanya, pembeli turut melibatkan kakitangan persekutuan yang membuat pembiayaan melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan seterusnya pembeli yang meminjam dari bank swasta.

Sebelum ini, sekitar 200 pembeli rumah di Sentoria Borneo Semariang Garden tampil dengan cara tersendiri menyampaikan 'mesej' kepada pihak berkaitan berhubung isu perumahan mereka yang masih terbengkalai.

Kekecewaan yang disimpan sejak sekian lama oleh kesemua pembeli diluahkan menerusi kesepakatan mereka menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediaman terbengkalai berkenaan di sini, pada Khamis.

Menurut salah seorang pembeli, Abdul Rahman Hamid, 33, sehingga sekarang, tiada sebarang tindakan diambil oleh pemaju dan dibiarkan terbengkalai tanpa sebarang pemberitahuan mengenai status projek.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan tapak projek perumahan fasa 7, Abdul Rahman Hamid berkata, projek perumahan itu membabitkan lebih 1,000 unit rumah terdiri Fasa 4, 5 dan 7 dengan sebanyak kira-kira 600 unit, manakala Spektra 1 dan Spektra 2 pula 500 unit.

"Kebanyakan pembeli majoritinya kakitangan awam cukup terbeban kerana terpaksa menyewa rumah dan pada masa sama membayar ansuran bulanan antara RM1,000 hingga RM2,000.

"Pembiayaan bayaran pinjaman perumahan dibuat secara potongan gaji tanpa gagal kira-kira tiga tahun sejak 2019, namun rumah masih belum dapat disiapkan.

"Kami memang amat terkesan, terutama dari segi kewangan tambahan lagi bebanan hidup semakin berat dan impian kami untuk menyambut perayaan di rumah sendiri entah bila akan menjadi kenyataan," katanya.

Sementara itu, luah seorang lagi pembeli yang terkilan dengan isu rumah terbengkalai tersebut, Wan Rabbani, 33, mereka amat kecewa dengan sikap pemaju yang terus menghilang sejak kali terakhir menghantar surat kepada mereka September, 2020.

Katanya, menerusi surat tersebut, pemaju berjanji untuk meneruskan projek terbabit pada suku keempat tahun lalu dan memberi jaminan akan menyiapkannya dalam tempoh setahun.

"Bagaimanapun, pemaju berkenaan terus terputus hubungan dengan kami dan pembeli kini tidak tahu untuk berurusan dengan siapa.

"Justeru kami amat berharap kerajaan negeri dapat membantu kerana pembeli berdepan kesukaran berhubung dengan pemaju yang telah menutup pejabat mereka di Kuching," katanya ketika ditemui di perkarangan tapak projek perumahan terbengkalai.
Next Post Previous Post