Notification

×

Iklan

Iklan

Jejambat batu 10 siap, Trans Borneo tunggu 5 tahun lagi - Fadillah

| Mei 22, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-05-22T09:07:02Z
Menteri Kanan Kerja Raya Malaysia,  Datuk Seri Fadillah Yusof meninjau Jejambat Batu 10 yang dibuka dengan rasmi hari ini. Gambar Kementerian Kerja Raya

KUCHING—Jejambat Batu 10 Seksyen Kuching Serian Road (KSR), WPC 02 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak akhirnya dibuka dengan rasmi hari ini.


"Jejambat Batu 10 adalah salah satu jejambat di bawah jajaran Seksyen KSR yang merupakan satu daripada tiga jajaran seksyen di bawah Pakej Kerja 02 dari Sematan ke Kuching Serian Road (KSR). Projek ini telah bermula pada 1 November 2016 dan turut meliputi jejambat Batu 4 1⁄2, Batu 6 dan Batu 7.


Pembukaan Jejambat Batu 10 ini, secara tidak langsung akan membantu memudahkan aliran trafik antara Kuching ke Padawan dan Siburan. Gambar Kementerian Kerja Raya


Pembukaan Jejambat Batu 10 ini, secara tidak langsung akan membantu memudahkan aliran trafik antara Kuching ke Padawan dan Siburan. Projek ini juga menjadi pemangkin kepada pembangunan di sepanjang jajaran contohnya Puncak Borneo, Mambong, Landeh, Kampung Panchor, Tapah, dengan akses jalan raya yang lebih baik," kata Menteri Kanan Kerja Raya Malaysia,  Datuk Seri Fadillah Yusof. 


Fadillah berkata bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, pemandu dinasihati mematuhi had kelajuan yang telah ditetapkan iaitu 60 kilometer sejam dan tidak dibenarkan untuk berhenti mengambil gambar, beriadah dan berehat di atas jejambat ini.


"Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak ini adalah satu komitmen Kerajaan Persekutuan dalam mewujudkan pembangunan yang mampan, seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat, etnik dan wilayah.



Terima kasih di atas komitmen padu semua pihak terutama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan semua kontraktor yang terlibat dalam memastikan Pan Borneo Fasa 1 dapat disiapkan dalam tempoh dan bajet ditetapkan," tambah Fadillah.


Sementara itu, BERNAMA melaporkan Lebuhraya Pan Borneo, termasuk laluan dikenali sebagai Lebuhraya Trans Borneo yang menghubungkan Sarawak dan Sabah, dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh kira-kira lima tahun lagi.


Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata setakat ini pembinaan Lebuhraya Pan Borneo telah mencapai 82 peratus siap, dengan empat pakej yang telah siap sepenuhnya merangkumi pakej Telok Melano-Sematan, Nyabau, Serian-Balai Ringin dan Julau.


Beliau berkata pakej selebihnya dijangka siap hujung tahun ini, walaupun beliau menjangka mungkin satu atau dua pakej akan terlewat disebabkan pelbagai cabaran terutamanya dari segi kekurangan bahan, kenaikan harga barang dan kekurangan tenaga kerja asing, terutama dari Indonesia.


“Kenaikan harga minyak diesel juga salah satu cabaran yang dihadapi oleh kontraktor selain daripada kenaikan harga besi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jejambat Batu 10, Seksyen Kuching-Serian Road (KSR) yang merupakan sebahagian daripada projek Lebuhraya Pan Borneo.


Fasa Satu Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang bernilai RM16.117 bilion meliputi 11 pakej kerja dengan jajaran sepanjang 786 kilometer bermula dari Telok Melano ke Miri, manakala Lebuhraya Pan Borneo Fasa 2 bermula dari Limbang ke Lawas dan dijangka siap menjelang tahun 2028.

×
Berita Terbaru Update