Bekalan ayam kurang, peniaga di Perlis catu jualan

Masalah berpunca daripada berat ayam di ladang yang tidak mencapai standard untuk dipasarkan. Gambar hiasan 

PADANG BESAR— Rata-rata peniaga ayam di Perlis bertindak mencatu penjualannya susulan tindakan pengeluar menghentikan operasi buat sementara, dikatakan berpunca daripada berat ayam di ladang yang tidak mencapai standard untuk dipasarkan.


Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perlis, Dr. Adam Abdullah Kwan berkata langkah mencatu jualan ayam itu dilaksanakan oleh para peniaga sendiri bagi membolehkan lebih ramai pelanggan mendapat peluang untuk memperoleh bekalan ayam.


“Catuan dilaksanakan sendiri oleh penjual dan bukan daripada arahan penguat kuasa. Saya dimaklumkan pengeluar akan menghantar 13,000 ekor ayam ke peniaga di negeri ini hari ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.


Seorang peniaga ayam yang ditemui, Ismanizam Ismail, 40, berkata beliau menghadapi masalah apabila pengeluar tidak dapat membekalkan ayam mengikut jumlah yang ditempah.


“Saya tempah 200 ekor ayam tetapi hanya dapat 20 ekor sahaja. Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun-tahun sebelum ini pula, biasanya saya dapat jual 1,000 ekor ayam, tetapi tahun ini hanya dapat jual 150 ekor ayam,” katanya.


Beliau berkata tahun ini bekalan ayam paling merosot berlaku sejak sambutan Tahun Baharu Cina pada bulan Februari lepas.


Seorang lagi peniaga ayam, Wan Shahrul Wan Choh, 31 berkata semalam beliau tidak berniaga disebabkan tiada bekalan ayam yang diterima.


“Mungkin bekalan ayam ada tetapi pengeluar tahan dulu keluaran ayam,” katanya.


Beliau berkata bekalan ayam untuk Hari Raya Aidiladha nanti tidak boleh dijangka kerana risau tiada bekalan.


Seorang pelanggan, Rogayah Ali, 38 berkata beliau terpaksa pergi mencari sehingga dua atau tiga kedai untuk membeli ayam, bagi membolehkan beliau berniaga pulut ayam.


“Saya pernah terpaksa menutup kedai sehingga tiga hari kerana tiada ayam yang dapat dibeli,” katanya.


Di KUALA LUMPUR,  Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan meminta peniaga runcit membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) sekiranya ada pengusaha ladang ayam menaikkan harga bagi meraih keuntungan lebih.


Nadzim turut menasihati pengguna untuk menolak produk dari pengeluar yang tidak bertanggungjawab serta peka dengan sumber ayam yang diperolehi oleh pembekal. 


“Tindakan beberapa pihak yang mendakwa terdapat ladang ternakan ayam yang tiada bekalan ayam adalah tidak bertanggungjawab dan tidak masuk akal,” katanya. 


-- BERNAMA 

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.