Ugut racun ibu dan ayah, ancam guna senjata tajam

Suspek ditahan kerana mengugut meracun ibu bapanya selain mengancam menggunakan senjata tajam. Kredit gambar PDRM Miri

MIRI—Hanya kerana tidak mendapat wang yang diminta, seorang lelaki tergamak mengugut untuk meletakkan racun dalam makanan ibu bapanya sendiri di sebuah rumah panjang di Sungai Kelitang, Bekenu pagi Jumaat lalu

Dalam kejadian sekitar jam 9 pagi itu, suspek berusia 34 tahun itu turut mengugut mencederakan bapanya menggunakan senjata tajam, selepas tidak diberi wang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Mohd Sabri Zainol ketika mengesahkan kes itu berkata, dalam kejadian amuk itu kedua-dua mangsa sempat melarikan diri ke Balai Polis Bekenu dan membuat laporan polis.

“Sehubungan itu, pihak polis telah menangkap suspek untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Next Post Previous Post