Tak sabar tunggu pintu sempadan dibuka, 8 ditangkap cuba balik ke Indonesia secara haram

Lapan PATI Indonesia ditahan berhampiran Pos Kandaie selepas cuba balik ke negara asal secara haram. Gambar kredit Markas 1 Divisyen

LUNDU—Tindakan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba pulang ke negara asal melalui jalan tikus meskipun pintu sempadan negara di Sarawak melalui Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin Sarawak (CIQS) Biawak, Lundu dan Pos Lintas Batas Negara (PLBN) Aruk Kalimantan, Indonesia akan dibuka pada 14 April ini membawa padah apabila mereka ditahan awal pagi tadi.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen dalam kenyataan berkata, lapan PATI itu terdiri daripada seorang wanita dan tujuh lelaki merupakan warga Indonesia berusia 17 hingga 43 tahun ditahan sekitar jam 7 pagi.

"Semasa anggota seksyen yang sedang melaksanakan penugasan di Pos Kawalan telah melihat sebuah kendraan pelbagai guna (MPV) bersama dua motosikal yang mencurigakan sedang melalui jalan utama di kawasan Ladang Sawit Sektor Pos Kandaie sekitar 50 meter dari sempadan Malaysia - Indonesia.


"Hasil pemeriksaan awal mendapati tiga pemandu kenderaan tersebut membawa lima PATI untuk pulang ke Indonesia," katanya.

Jelasnya, kesemua mereka ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen lintas batas yang sah dan juga memiliki pasport yang telah tamat tempoh.

Dalam pada itu, tegasnya semasa tangkapan, anggota juga merampas sebuah kenderaan MPV, dua motosikal, dua laras senapang angin, dua bilah parang, sebuah tabung untuk memproses dadah jenis syabu, telefon bimbit serta wang tunai.

"Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 50,000," tambahnya.

Menurutnya lagi kesemua individu tersebut bersama barangan rampasan telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu.

"Tentera Darat terus komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak COVID-19," ujarnya.
Next Post Previous Post