56 lokasi kerap kemalangan jadi tumpuan sepanjang Op Selamat 18 sempena Aidilfitri

Gambar sekitar pelancaran operasi oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri. 

KUCHING-- Polis menempatkan pegawai dan anggota di 56 lokasi terpilih seluruh Sarawak sepanjang tempoh Op Selamat Ke-18 yang bermula dari 29 April hingga 8 Mei 2022 sempena musim perayaan Aidilfitri ini, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.

Beliau memberitahu, lokasi-lokasi tersebut merupakan kawasan yang sering berlaku kemalangan jalan raya di negeri ini.

"Lokasi tumpuan Op Selamat 18 sempena perayaan Hari Raya Aidlifitri 2022 adalah di jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran terutamanya di kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan kesesakan lalu lintas dan juga kawasan perumahan dan penempatan orang ramai," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Op Selamat 18 di Pusat Beli-belah Boulevard di sini hari ini.


Tambahnya, kekuatan pegawai dan anggota operasi ini akan melibatkan semua cawangan dan jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak dan akan melibatkan semua daerah di Sarawak.

Jelas Mohd Azman, sepanjang tempoh Op Selamat 18, seramai lebih kurang 750 pegawai dan anggota polis Kontinjen Sarawak dari pelbagai cawangan dan jabatan akan terlibat bagi menentukan keselamatan pengguna jalan raya dan juga bagi memastikan rumah-rumah yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat di seluruh Sarawak.

"Pecahannya adalah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) 440 orang, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) 115, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) 62, Jabatan Siasatan Jenayah Nakortik (JSJN) 45, Balai / tugas am 63 dan lain-lain seramai 25 orang pegawai dan anggota," ujarnya. 


Mengulas lanjut tema Op Selamat 18, jelasnya, ia adalah bertemakan "Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi".

Tambahnya tujuan operasi ini adalah untuk menurunkan kadar kemalangan jalan raya di negeri Sarawak di sepanjang tempoh musim perayaan ini.

Selain itu, tegasnya, menguatkuasakan undang-undang dan peraturan lalu lintas, mewujudkan rasa selesa dan selamat di kalangan pengguna jalan raya serta mencegah jenayah pecah rumah iaitu ke atas rumah rumah yang ditinggalkan semasa penghuni pulang bercuti dengan membuat rondaan berkala bagi memastikan premis dan rumah-rumah kediaman yang ditinggalkan itu berada dalam keadaan selamat dari sebarang pelakuan jenayah.

Sehubungan itu beliau menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas serta mematuhi arahan daripada anggota penguat kuasa yang bertugas di jalan raya di sepanjang tempoh musim perayaan ini.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pengguna jalan raya yang didapati melanggar dan tidak mematuhi peraturan lalu lintas.

"Nasihat saya utamakan keselamatan diri serta keselamatan keluarga dan ingat orang yang tersayang.

"Saya berharap semoga operasi ini akan dapat mencapai matlamat yang disasarkan, iaitu dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di seluruh Sarawak dan dapat mencegah kejadian pecah rumah di sepanjang tempoh musim perayaan ini," ujarnya.

Pada masa sama beliau juga meminta orang ramai supaya memberi kerjasama dan memaklumkan kepada polis apabila meninggalkan rumah kediaman di musim perayaan ini. 
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.